AGENDANASIONAL

Seni khat tiada kaitan agama-Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Tulisan khat adalah satu cabang seni penulisan dan ia tidak membabitkan elemen keagamaan, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum keresahan masyarakat Cina apabila kerajaan akan memperkenal tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat, pada tahun hadapan.

“Kita akan membincangkannya lebih lanjut, tetapi sebenarnya ia adalah seni,” katanya kepada media berhubung isu bantahan penggunaan tulisan khat.

Terdahulu, Dr Wan Azizah melancarkan Pertandingan Video Kreatif “Hentikan! Stop It!” dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan dan bantahan sesetengah pihak berhubungnya hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

Dr Wan Azizah berkata, beliau mengambil maklum kenyataan perdana menteri, namun akan berjumpa dengan Tun Dr Mahathir untuk berbincang lebih mendalam mengenainya.

“Saya mengambil maklum perkara itu dan akan bincang dengan perdana menteri, walaupun beliau sudah mengeluarkan kenyataan kita akan berjumpa dan berbincang dengan lebih mendalam,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :