Latheefa Koya menyaksikan Amirudin Shari menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 19 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SPRM seru ahli politik, ahli majlis isyithar harta

SHAH ALAM, 19 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru ahli politik yang mempunyai akses kepada dana awam supaya mengisytiharkan harta masing-masing sebagai usaha mengekang berlakunya rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, langkah itu juga perlu bagi mengelak persepsi bahawa seseorang ahli politik itu terbabit dalam kegiatan berkaitan.

Katanya, pendekatan sama perlu dilakukan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana negeri juga mempunyai sumber kewangan yang tinggi.

“Saya ingin tekankan ahli politik mempunyai akses kepada dana awam yang mendapat peruntukan kawasan dan sebagainya tetap dikehendaki untuk mengisytihar harta.

“SPRM juga menyeru setiap Kerajaan Negeri bukan sahaja Selangor untuk isytihar harta yang mana tidak terhad kepada EXCO tetapi juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Latheefa sebelum itu menyaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan turut disertai EXCO Kerajaan Negeri.

Sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 44 jabatan, tiga anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dan masing-masing dua syarikat swasta serta persatuan di Selangor sudah menandatangani IBR.


Pengarang :