AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Penurunan had kelayakan beri motivasi kepada atlet

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA menurunkan had kelayakan atlet kategori A dilihat satu tindakan tepat dalam merangsang atlet negara yang dipilih untuk melakar keputusan positif pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini.

Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau menyokong keputusan itu bagi memastikan tidak wujud “penumpang” dalam kontinjen negara ke temasya dwitahunan berkenaan.

Penyertaan kategori A ditaja sepenuhnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM), manakala menerusi kategori B, persatuan sukan kebangsaan perlu mendahulukan wang perjalanan dan MOM akan membayar wang perjalanan berkenaan jika atlet mereka meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

“Saya fikir ia juga boleh merangsang seseorang atlet, dan pastinya kita hendak beri lebih banyak ruang kepada banyak persatuan sukan (kebangsaan) untuk menamakan atlet mereka.

“Saya pun sudah maklumkan dalam pertemuan dengan pengurus pasukan (baru-baru ini) bahawa kita mahu “penumpang” tidak kira apa sukan sekalipun walaupun sekadar hanya ingin mengambil bahagian termasuk dalam kategori B,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan skuad terjun dan renang negara di Pusat Akuatik Nasional, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah.

Ditanya berhubung jumlah sasaran pingat, Megat yang juga Naib Presiden MOM memaklumkan perkara berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah pihaknya memuktamadkan jumlah sebenar atlet negara ke Sukan SEA 2019.

Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA yang bersidang, baru-baru ini dilaporkan bersetuju menurunkan had kelayakan kategori A ke Sukan SEA 2019.

Pemenang pingat gangsa dalam acara individu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan diletakkan dalam kategori A, berbanding pemenang pingat perak sebelum ini, manakala atlet yang menduduki tempat keempat dalam acara berpasukan pada KL2017, turut meraih tiket automatik kategori A.

Sukan SEA ke-30 bakal berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember, membabitkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark.

-BERNAMA


Pengarang :