Serahan cek replika Sumbangan Mangsa Bencana Ribut di Kawasan DUN Sungai Tua dan Taman Tampler Daerah Gombak ketika Program Sambutan Hari Kemerdekaan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sumbangan RM400,000 buat mangsa bencana Gombak

BATU CAVES, 31 OGOS: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) memperuntukkan RM400,000 buat penduduk Gombak yang ditimpa bencana ribut, sebelum Aidil Adha lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa sama Lembaga Zakat Selangor turut menyerahkan sumbangan RM68,000 kepada mangsa.

“Kami harap bantuan ini akan mengurangkan beban ditanggung penduduk dan selepas ini Kerajaan Negeri akan menyelaraskan bantuan buat penduduk Sabak Bernam yang turut ditimpa bencana baru-baru ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Program Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Hadir sama, isterinya, Masdiana Muhamad; Orang Besar Gombak, Dato’ Paduka Raja Tan Sri Dato’ Wan Mahmood Pa’ Wan Teh; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Tanggungjawab Sosial Korporat CSR MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Amirudin Shari bersama isteri, Masdiana Muhamad melepaskan burung merpati sempena Program Sambutan Hari Kemerdekaan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Lebih 2,000 penduduk terdiri daripada pelbagai kaum turut sama memeriahkan program bermula dari jam 8 pagi itu.

Terdahulu pada 11 Julai lalu, Amirudin turun padang melawat mangsa kejadian ribut yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 6 petang pada 10 Julai itu menyebabkan hampir 125 keluarga terjejas.

Kebanyakan rumah rosak akibat pokok tumbang dan Kerajaan Negeri menyerahkan bantuan segera iaitu bayaran RM500.

Selain Kampung Laksamana, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut melawat ke beberapa lokasi termasuk Kampung Nakhoda, Selayang Baru, Flat Cempaka dan Sekolah Menengah Taman Selayang.


Pengarang :