Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada kompromi insiden lif PPR Kerinchi – Khalid

PUTRAJAYA, 4 OGOS : Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati cuai berhubung kejadian lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

“Kita akan siasat dan tidak akan ada ‘cover-up’. Kalau ianya merupakan akibat kecuaian ataupun kontraktor-kontraktor tidak membuat kerja, semua itu akan terbuka,” katanya selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat Putrajaya di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Khalid berkata beliau difahamkan satu perbincangan antara Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan), para kontraktor lif, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) diadakan semalam bagi membincangkan beberapa tindakan yang akan diambil untuk masa hadapan, khususnya dari sudut pemasangan lif dalam bangunan baharu.

Ditanya laporan akhbar yang melaporkan semakan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapati di ibu kota sahaja 6,000 lif tidak memiliki Sijil Perakuan Kelayakan (CF), Khalid berkata beliau tidak pasti terdapat begitu banyak lif di PPR sahaja.

“Yang saya tahu PPR Kerinchi, itu ada sijil dan disahkan DOSH. Itu merupakan maklumat bagi saya. Kalau PPR kita tidak sampai 6,000 lif. Kalau ia (laporan) maksudkan dengan bersama lif-lif dalam bangunan swasta, itu saya tidak tahu.

“Yang mana bangunan yang di bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) sendiri, itu kita tentukan bahawa bangunan-bangunan yang di bawah jagaan kita. Kalau jagaan pihak lain, dari segi penguatkuasaan kena dijaga pemilik bangunan dan DOSH. Saya tak pasti dari mana mereka mendapatkan fakta itu,” katanya.

Ditanya cadangan DBKL yang mahu kontraktor penyelenggara lif di 45 PPR di bawah seliaannya supaya membawa bersama wakil JKKP ketika pemeriksaan pada setiap bulan, Khalid berkata sistem penyelenggaraan yang dilaksanakan merupakan satu sistem bersama DOSH dan JKKP yang terlibat dalam soal merangka peraturan dan perundangan berhubung penyelenggaraan.

“Kontraktor yang dibenarkan membuat penyelenggaraan juga disijilkan oleh DOSH dan JKKP. Ia bukan perkara yang pandai-pandai buat. Sama ada ia dilaksanakan atau tidak itu perlu disahkan. Hanya di PPR Kerinchi, siasatan awal menunjukkan rekod penyelenggaraan telah diisi dan dilakukan,” katanya.

Khalid berkata kontraktor yang diberikan tanggungjawab dan kontrak untuk menjaga lif di semua bangunan di bawah jagaan DBKL adalah kontraktor yang telah disijilkan oleh DOSH dan pembuat lif dan seharusnya mereka merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menjaga lif.

“Tetapi sekiranya didapati bahawa (kontraktor) tidak menjalankan tanggungjawab menyelenggara lif dengan sepatutnya, maka tindakan yang akan diambil bergantung kepada siastan yang kita lakukan,” jelasnya.

Mengenai kempen kibar Jalur Gemilang, Khalid berkata ia diadakan secara serentak dengan program Hari Bebas Kereta Putrajaya anjuran PPj yang bertujuan menyemarak sambutan Hari Kebangsaan tahun ini serta menyuburkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan warga Putrajaya.

Beliau turut menyeru warga Putrajaya dan pengunjung mengibarkan Jalur Gemilang di premis kerajaan, swasta, perniagaan serta kenderaan pejabat serta persendirian mulai sekarang. -BERNAMA


Pengarang :