ADNPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Tidak benar MB dicabar, Speaker dipecat

SHAH ALAM, 8 OGOS: Desas-desus kononnya Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berdepan undi tidak percaya sengaja disemarakkan ‘tangan ghaib’ yang berhasrat mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Elizabeth Wong berkata, perjumpaan pemimpin tertinggi negeri itu bersama pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) negeri sebelum ini juga bukan perkara luar biasa.

Malah, katanya, dakwaan berhubung pemecatan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim tidak benar dan sengaja direka bagi mewujudkan ketegangan dengan Dato’ Menteri Besar, sekali gus memecahbelah kesatuan PAKATAN Selangor.

Berikut kenyataan penuh berhubung desa-desus pergolakan dalam pentadbiran Selangor:

1. Bisik-bisik kononnya YAB Dato’ Menteri Besar Selangor berhadapan ancaman undi tidak percaya adalah desas-desus yang sengaja disemarakkan oleh tangan-tangan ghaib yang berhasrat mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri Selangor.

2. Selaku Dato’ Menteri Besar Negeri Selangor dan Pengerusi Majlis Pimpinan parti yang mentadbir negeri Selangor, perjumpaan-perjumpaan YAB bersama pimpinan PH Selangor bukan perkara luar biasa. Ia kerap diadakan bagi tujuan membincang isu-isu semasa, lebih-lebih lagi menjelang pembentangan belanjawan Negeri Selangor tahun 2020 dalam tempoh masa tiga bulan nanti. Malah mesyuarat PH hari ini telahpun dijadual dan dimaklumkan kepada Biropolitik Keadilan Selangor sejak bulan Julai lepas.

3. Desas-desus berkenaan pemecatan YB Speaker Ng Suee Lin juga tidak benar. Khabar angin tersebut sengaja direka bagi tujuan mewujudkan ketegangan antara YAB Menteri Besar dengan YB Speaker, sekaligus memecahbelah kesatuan PH Selangor.

4. Berkenaan majlis pertemuan bersama YAB Dato’ Menteri Besar dan YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 8 Ogos (Khamis) di Shah Alam, majlis tersebut adalah seiring dengan lawatan rasmi YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke negeri Selangor, di mana beliau berhasrat menyantuni orang ramai di peringkat akar umbi dalam usaha menyiapkan RMKe-12 sebelum pembentangannya di Dewan Rakyat hujung tahun ini.

5. Hakikatnya, negeri Selangor bukanlah negeri pertama yang dilawat YB Menteri Hal Ehwal Ehwal Ekonomi, kerana sebelum ini negeri-negeri seperti Melaka (5 Julai), Johor (11 Julai), Perak (22 Julai), Sabah (26 Julai), Sarawak (27 Julai) dan beberapa negeri lain telahpun YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi melawat bagi tujuan yang sama.

6. Majlis makan malam tersebut akan disusuli sesi Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Kerajaan Negeri Selangor Bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada keesokan harinya, iaitu 9hb Ogos (Jumaat), di mana Kerajaan Negeri Selangor akan mencadang kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi beberapa ‘proposal’ yang bertujuan memenuhi permintaan dan keperluan semasa rakyat negeri Selangor.

7. Seperti yang ditunjuk di atas, agak jelas program-program yang berkepentingan rakyat sedang giat diusahakan Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Namun, ada pihak yang akan sentiasa mengintai peluang untuk menimbulkan polemik yang tidak berasas demi kepentingan politik. Saya yakin rakyat Selangor bijak menilai.

Elizabeth juga adalah Pengerusi Backbenchers Club Selangor


Pengarang :