AGENDANASIONAL

Wanita KEADILAN mahu 30 peratus wanita dalam barisan MPN

SEREMBAN, 24 OGOS: Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha,  mahu 30 peratus daripada barisan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) diisi golongan wanita bagi membolehkan mereka terbabit secara langsung dalam peringkat membuat keputusan.

Katanya, antara jawatan yang boleh disandang golongan itu dalam MPN ialah bendahari, setiausaha, penolong setiausaha, ketua penerangan serta ahli jawatankuasa.  

“Ini antara teras perjuangan dalam perlembagaan parti untuk meletakkan wanita di peringkat membuat keputusan, wanita punyai perspektif dalam buat keputusan. Kita ada wanita berkebolehan hanya tidak diberi peluang untuk jawat jawatan penting. Pengerusi MPN ada kuasa untuk melantik.

“Kita bekerja ke arah itu, hanya saya perlu ingatkan wanita bahawa agenda ini masih perlu diusahakan dan diangkat sebab kita belum capai lagi sasaran. Buat masa ini kalau ada pun hanya 20 peratus wanita dalam MPN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Wanita Keadilan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza berkata perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Presiden parti supaya wanita dapat diberi ruang selari teras perjuangan parti.
 
“Saya tidak mahu agenda atau isu berkaitan wanita hanya wanita melaksanakannya, ia mesti agenda semua orang. Bila kita bercakap mengenai wanita ia berhubung hak kemanusiaan, ia bukan berkenaan hak wanita. 

“Jadi penglibatan wanita tidak boleh dilihat sebagai saingan sebaliknya mereka lengkap melengkapi antara golongan lelaki,” katanya.

Justeru beliau berharap pimpinan Wanita PKR di Negeri Sembilan akan bangun dan nyatakan pandangan mereka.

Ditanya sejauh mana kepimpinan Wanita PKR setakat ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Haniza berkata ia boleh dilihat dalam barisan kabinet yang turut diterajui Wanita KEADILAN termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Hanya sekarang perlu tingkatkan calon dalam pilihan raya untuk capai sasaran 30 peratus wanita. Kita juga bincang dengan rakan dalam Pakatan Harapan supaya mereka (wanita) turut membawa agenda itu, kena lantang suara jangan kompromi sangat, bila orang kata tidak bagi terus diam, kena lawan,” katanya.

Haniza berkata, pihaknya mempunyai beberapa cadangan untuk menambah bilangan wanita dalam pilihan raya akan datang dan cadangan itu akan dibawa pada Kongres Nasional Wanita Keadilan, 6 Disember ini.

“Cadangan itu, lantik Anggota Dewan Undangan Negeri tanpa kawasan dan lantik sebagai Senator di peringkat nasional,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :