Rodziah melawat salah satu gerai pameran pada pelancaran Mini Expo Usahawan Selangor 2019 (MEXUS) daerah Klang di Pusat Membeli-Belah Aeon Bukit Raja, di sini.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih banyak produk usahawan ke peringkat global

SHAH ALAM, 24 OGOS: Selangor menyasarkan lebih banyak produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri itu dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, menjadi hasrat Kerajaan Selangor melihat usahawan terbabit mengetengahkan produk, sekali gus mencipta nama di luar negara.

“Kerajaan Negeri mahu lebih ramai usahawan tampil ke hadapan untuk mengetengahkan produk mereka supaya kami boleh melihat dan membawanya ke peringkat lebih tinggi.

“Selangor mahu daripada tempatan ke antarabangsa, tetapi usahawan ini perlu bersedia supaya stok produk itu mencukupi untuk dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Mini Expo Usahawan Selangor 2019 (MEXUS) daerah Klang di Pusat Membeli-Belah Aeon Bukit Raja, di sini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian berhubung ‘kehilangan’ usahawan selepas beberapa tahun menjalankan perniagaan.

“Kita lihat selepas empat atau lima tahun berniaga, usahawan ini mula hilang. Walaupun menampilkan produk yang bagus, saya tidak tahu apa punca mereka ini tidak lagi berniaga.

“Sedangkan mereka ini perlu ke peringkat lebih tinggi, jadi saya sedang mengenal pasti apakah punca dan bagaimana untuk kita selesaikan,” katanya.

MEXUS kali kedua itu diteruskan ke daerah Klang yang menampilkan 40 gerai jualan termasuk usahawan selebriti dan enam pengusaha trak makanan.

Antara program lain diadakan ialah ceramah motivasi, karnival jualan trak makanan, taklimat usahawan oleh agensi kerajaan dan e-games.

Ekspo itu turut bertujuan menaikkan taraf penjaja kecil kepada usahawan berjaya pada masa depan hasil pertemuan dengan agensi keusahawanan berkaitan.

Usahawan juga tidak perlu bertemu agensi, sebaliknya agensi turun padang bagi memberi peluang kepada usahawan dan bakal usahawan mengintai peluang mendapatkan dana.


Pengarang :