AGENDANASIONAL

218,000 kekosongan kerja di sektor swasta

PUTRAJAYA, 6 SEPT: Jumlah jawatan sektor swasta meningkat sebanyak 145,000 pada suku kedua tahun ini kepada 8.6 juta jawatan berbanding 8.5 juta pada suku yang sama tahun lepas, demikian menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, kadar jawatan diisi adalah 97.5 peratus atau 8.4 juta manakala bilangan kekosongan adalah 218,000 dengan kadar 2.5 peratus, dengan sebanyak 27,000 jawatan diwujudkan pada suku tersebut.

Menurutnya, jawatan dalam kategori separuh mahir merangkumi 5.4 juta jawatan, kekal sebagai komponen terbesar dengan peratus sumbangan 62.3 peratus, diikuti kategori mahir 24.4 peratus dan berkemahiran rendah 13.3 peratus.

“Dari segi jawatan yang diwujudkan pula, kategori separuh mahir mewakili 48.5 peratus, diikuti 44.7 peratus pada kategori mahir dan 6.8 peratus dalam kategori berkemahiran rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Kedua 2019 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan melaporkan statistik permintaan buruh sektor swasta meliputi jawatan yang ditawarkan, jawatan diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut aktiviti ekonomi utama dan kategori kemahiran.

Dari sudut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, 51.6 peratus daripada jawatan di sektor swasta tertumpu di sektor perkhidmatan, manakala 26.3 peratus jawatan dalam sektor pembuatan.

Jawatan di sektor pembinaan pula meliputi 15.2 peratus, diikuti pertanian 5.9 peratus dan perlombongan dan pengkuarian (satu peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata, dari segi kekosongan jawatan, 55.6 peratus direkodkan dalam sektor pembuatan, diikuti sektor perkhidmatan (20.1 peratus), manakala bagi pewujudan jawatan, 50.4 peratus adalah dalam sektor perkhidmatan, diikuti pembuatan (20.8 peratus) dan pembinaan (19.6 peratus).

“Sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan kadar tertinggi pengisian jawatan pada 99.6 peratus diikuti sektor perkhidmatan 99 peratus dan sektor pembinaan 98.3 peratus. Pembuatan dan pertanian merekodkan kadar pengisian jawatan masing-masing pada 94.7 peratus dan 94 peratus,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :