Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama penduduk Orang Asli ketika baginda melawat perkampungan Sungai Ruil hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong minta kerajaan perhalusi kaedah bantuan Orang Asli

CAMERON HIGHLANDS, 8 SEPT: Sifat berjiwa rakyat dan penyayang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah hari ini apabila berkenan mencemar duli melawat perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini.

Ketibaan Seri Paduka, yang begitu dekat di hati penduduk Sungai Ruil, tepat 11 pagi disambut kira-kira 500 orang dengan penuh kegembiraan dan keterujaan kerana buat julung kalinya dapat bertemu Al-Sultan Abdullah selepas ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam titah bersahaja tetapi penuh pesanan dan nasihat, Seri Paduka menzahirkan harapan supaya kerajaan dapat memperhalusi serta memperkemas kaedah membantu masyarakat Orang Asli serta golongan miskin supaya dapat memperbaiki kehidupan dalam jangka masa panjang.

“Kalau saya perhatikan dahulu kerajaan ada konsep Felda yang banyak memberi manfaat dan menolong orang susah. Saya harap konsep ini dapat diperkemas, diperhalusi dan diperbesarkan kepada kaum Orang Asli serta masyarakat miskin supaya diadakan sumber jangka panjang untuk anak cucu mereka.

“Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan dibincangkan untuk kaji semula kerana saya minta setiap rakyat dibela dan diberi peluang tambah pendapatan dan kekayaan,” titah Al-Sultan Abdullah.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru masyarakat Orang Asli supaya memaklumkan kepada kerajaan sebarang keperluan mereka supaya penyediaan serta penyaluran bantuan yang ada dapat dikemas.

“Bukan kerajaan tak sediakan, tetapi ada Orang Asli sendiri yang tidak mahu berhijrah, mereka lebih suka dan selesa tinggal bersama dengan kaum dia, di tempat dia,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penduduk Sungai Ruil, yang kini mendiami rumah baharu dan moden, supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit terutama membabitkan kanak-kanak.

“Macam mana keadaan rumah Bagus Semua keluarga jaga rumah dengan elok, rumah batu, jangan pula ditambah kayu,” titah Al-Sultan Abdullah secara bersahaja kepada penduduk yang hadir.

Projek penempatan semula masyarakat Orang Asli Sungai Ruil mempunyai 152 unit rumah yang dibina susulan tanah runtuh pada 7 Ogos 2011 dan mula diduduki pada Mei 2016.

-BERNAMA


Pengarang :