Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji melepaskan ikan ke dalam Sungai simbolik perasmian pada Program Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.29 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
SELANGOR

KATS pastikan sungai sedia ada tidak tercemar

KUALA KUBU BHARU, 29 SEPT: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang giat melaksanakan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi memastikan sungai sedia ada tidak tercemar dan akhirnya mati.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yang Mulia Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, jumlah sungai bagi Kelas 4 iaitu tercemar dan Kelas 5, hampir mati semakin bertambah berbanding Kelas 1 dan 2.

“Kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS) 2017 mendapati hampir 40 peratus sungai-sungai di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya didapati tercemar teruk atau dikategori dalam kelas 5 iaitu hampi mati.

“Kita sudah lakukan beberapa tindakan IRBM terhadap sungai yang dikenal pasti bagi mencapai empat objektif utama IRBM iaitu memastikan air mencukupi, bersih, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan pemuliharaan alam sekitar.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bergambar bersama tetamu kehormat pada Perasmian Program Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.29 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Antara sungai yang sudah dilaksanakan IRBM adalah Sungai Kuantan, Sungai Kelantan, Sungai Perak dan Sungai Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia 2019 dengan tema ‘Waterways In Our Communities’ (Jalan Air di Komuniti Kita) di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pecah, di sini.

Katanya, sungai Kelas 1 adalah airnya boleh terus diminum tanpa rawatan manakala air sungai Kelas 2 memerlukan rawatan biasa sebelum digunakan.

Tengku Zulpuri Shah berkata, jika keadaan itu berterusan, ia akan memberikan kesan kepada bekalan air negara dan menjejaskan penduduk sekitar kerana kekerapan penutupan loji rawatan air disebabkan pencemaran.

Secara keseluruhan terdapat 189 lembangan sungai di Malaysia termasuk 75 di Sabah dan 40 di Sarawak.


Pengarang :