AGENDANASIONAL

Kaunter LHDN dibuka esok, Ahad

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Kaunter perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan beroperasi pada Sabtu dan Ahad ini untuk memudah cara urusan pembayar cukai bagi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

LHDNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kaunter duti setem turut akan dibuka pada tarikh tersebut untuk pengeluaran notis taksiran secara dalam talian (STAMPS) kepada pembayar duti individu sahaja dan tidak termasuk wakil atau ejen bagi dokumen diterima melebihi enam bulan dari tarikh dokumen ditandatangani.

“Kaunter di 36 cawangan LHDNM, 44 Pusat Khidmat Hasil dan 12 Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka manakala kaunter pusat bayaran LHDNM di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu tidak dibuka pada tarikh tersebut.

Oleh itu, bayaran baki cukai boleh dibuat menggunakan cek di kaunter perkhidmatan, melalui pautan https://byrhasil.hasil.gov.my/, perbankan internet dan kaunter bank ejen LHDNM,” kata kenyataan itu.

PKPS merupakan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDNM.

Menurut LHDNM, waktu operasi kaunter adalah dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang di semua tempat kecuali di UTC Kelantan, Johor dan Kedah yang bermula 1 tengah hari hingga 10 malam.

Katanya, fasa PKPS pertama telah tamat pada 30 Jun lalu dan fasa kedua yang akan tamat pada 30 September ini menawarkan kadar penalti 15 peratus atas amaun cukai tambahan yang dikenakan.

“Oleh itu, LHDNM menyeru agar pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai dan masih belum menyertai PKPS disaran memanfaatkan peluang ini bagi mengelakkan penalti yang lebih tinggi,” katanya.

Pusat panggilannya (Hasil Care Line) juga akan beroperasi pada tarikh tersebut dan sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi talian 1-800-5436 dan 603-8911-1100 (luar negara).

Dalam kenyataan berasingan, LHNDM dengan kerjasama Akrib Negara Malaysia (ANM) telah menandatangani persetujuan Jadual Pelupusan Rekod (JPR) Fungsian LHDNM 2019 semalam.

Persetujuan tersebut merupakan penambahbaikan daripada JPR Fungsian LHDNM 2011 yang dilaksana mulai 9 September 2011 bagi memiliki sistem pengurusan pelupusan rekod sistematik seperti yang diperuntukkan dalam Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629).

“Inisiatif LHDNM dalam menandatangani persetujuan ini secara tidak langsung akan menjimatkan ruang dan kos penyimpanan memandangkan segala pelupusan rekod mengikut jadual yang ditetapkan oleh piawaian ANM,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :