Pemandangan bandar raya Shah Alam yang dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 145 iaitu tahap tidak sihat ketika dirakam pada 11 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

Kerajaan Selangor atur pertemuan dengan JAS hari ini

PUCHONG, 12 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dijangka akan mengetuai mesyuarat tergempar antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membincangkan masalah jerebu yang melanda Selangor ketika ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pertemuan itu dilakukan untuk menentukan kaedah bersesuaian bagi menangani masalah jerebu yang dilihat semakin menjejaskan beberapa lokasi.

“JAS akan membuat pembentangan khusus kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan turut sama menyertai pertemuan empat mata ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan penutup hidung dan mulut kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1 Bandar Kinrara, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengetuanya, Normah Hashim dan Setiausaha Persatuan Guru dan Ibu Bapa, Thiagaraj Sivanandam serta Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, E Mehanatan.

Sze Han berkata, beliau percaya punca masalah jerebu yang melanda Selangor disebabkan bawaan dari negara luar bukan daripada pembakaran terbuka di negeri ini.

“Agensi yang berkenaan turut membuat pemantauan setiap hari dan mendapati sememangnya tiada berlaku pembakaran terbuka yang menyebabkan jerebu menjadi semakin teruk,” katanya.


Pengarang :