dav
PBTSELANGOR

KPKT pilih MBSA jayakan transformasi permit pembinaan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai bandar raya perintis di Selangor bagi menjayakan program Transformasi Urusan Permit Pembinaan Peneraju Utama Negeri (State DCP Champion).

Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, program itu bertujuan memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada aspek pengeluaran permit selain menghasilkan perubahan dalam industri pembinaan negara.

Katanya, inisiatif di bawah ‘Construction Industry Transformation Programme (CITP)’ yang diperkenalkan Lembaga Pembangunan Industri (CIDB) itu juga bertujuan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan PBT daripada aspek pengeluaran permit pembinaan merangkumi OSC 3.0 dan OSC 3.0 Plus.

“Oleh itu, urusan permit pembinaan akan menjadi lebih cekap, mesra pelabur dan berpotensi untuk menarik pelabur melabur di Shah Alam, sekali gus meningkatkan lagi sektor pembinaan dan pelaburan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Aku Janji Melaksanakan Program Transformasi Urusan Permit Pembinaan – Peneraju Utama Negeri (State DCP Champion) di Dewan Bankuet, MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir melancarkan majlis, Setiausaha Kerajaan Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Untuk rekod, program ini adalah gabungan kerjasama agensi kerajaan dan swasta membabitkan KPKT, CIDB dan Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Pada masa sama, Haris berkata, tahap kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam urusan permit pembinaan adalah salah satu aspek penentu yang digunapakai Bank Dunia untuk menentukan kedudukan sesebuah negara.

Justeru, katanya, matlamat utama State DCP Champion itu ditetapkan untuk menambahbaik kecekapan dan keberkesanan urusan memperoleh permit pembinaan.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan mempercepatkan urusan kelulusan permit pembinaan di PBT kepada 90 hari berbanding 390 hari, sebelum ini.

“Melalui inisiatif ini, kerjasama daripada semua pihak dan sokongan Kerajaan Negeri dapat diteruskan bagi membangunkan inisiatif lain yang akan meningkatkan kualiti kerja dalam memproses permohonan permit pembangunan dan pembinaan di MBSA pada masa akan datang,” katanya.

Program State DCP Champion turut dilaksanakan di empat negeri lain antaranya Sabah, Pulau Pinang, Perak dan Johor manakala setiap ibu negeri itu ‘juara’ dalam melaksanakan perintis itu.


Pengarang :