Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 1 September 2019. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia model keamanan seluruh dunia – Mujahid

PUTRAJAYA, 1 SEPT: Malaysia mahu menjadi model kepada seluruh dunia khususnya negara Islam dalam memartabatkan budaya keamanan dan kedamaian di sebalik pelbagai konflik serta sengketa agama di dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu pemberita, Malaysia ingin menunjukkan masyarakatnya hidup dalam keadaan aman dan damai melalui dasar Rahmatan lil Alamin yang diperkenalkan kerajaan berdasarkan prinsip dan teras syariat Islam dalam sebuah negara berbilang kaum serta agama.

“Kerajaan mahu menjadikan prinsip ini sebagai dasar penting untuk memastikan tiada kebencian atau permusuhan yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu hari ini yang akan meruntuhkan segala yang telah kita bina untuk Malaysia yang aman sentosa,” katanya selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mujahid ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, umat Islam di Malaysia perlu mengambil peluang ketibaan awal Muharram untuk membuka lembaran baharu dalam usaha meneruskan agenda Malaysia Baharu.

“Sesungguhnya tunjang kesepaduan yang utuh dalam masyarakat mampu menjamin kesejahteraan dan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Jelas beliau, tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ dilihat begitu signifikan kerana Islam itu sendiri sifatnya rahmat.

“Sudah tentu dalam usaha kita membina negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia ini pendekatan yang harmoni dan aman perlu diimplementasi,” katanya.

Jelas Mujahid, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis hari ini menzahirkan keprihatinan Seri Paduka berdua atas usaha kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam di bumi Malaysia.

Majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan kali ini dihadiri lebih 3,000 orang.

Pada majlis hari ini bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Prof Datuk Seri Ir Zaini Ujang dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1441H/2019M atas sumbangannya kepada kelestarian alam sekitar.

Selain itu, Presiden Forum Memperkasakan Keamanan Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh menjadi penerima anugerah Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H/2019M atas perjuangannya untuk melihat dunia yang lebih aman.

– BERNAMA


Pengarang :