Amirudin Shari dan Juwairiya Zulkifli bersama tetamu serta kanak-kanak mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Program kemerdekaan perlu dipandang serius

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggesa rakyat untuk memandang serius terhadap program bersifat kemerdekaan.

Amirudin berkata, kebanyakan rakyat zaman sekarang kurang mendalami erti kemerdekaan dan mengganggap kebebasan dikecapi kini dapat dinikmati selamanya.

Katanya, rakyat seharusnya menghayati dan memahami erti kemerdekaan selain tidak mempersendakan program berunsurkan patriotisme.

“Di saat wujudnya program berunsurkan kemerdekaan kadang kala seseorang itu terlupa untuk menghayati malah ada yang ketawa, sinikal dan membuat jenaka terhadap program seperti ini.

“Hal ini kerana kita menganggap kemerdekaan itu dapat dinikmati selamanya seolah-olah ia datang bergolek sedangkan merdeka adalah satu perjuangan berterusan yang harus diingati, dihayati serta difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan di sini, malam tadi.

Amirudin Shari memukul gendang simbolik perasmian pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Amirudin berkata, kemerdekaan itu adalah sifat dan naluri kemanusiaan yang timbul dalam jati diri seseorang hanya membentuk perjuangan semakin lama semakin berbeza.

“Sejak awal merdeka kita melawan penjajah, menentang keganasan namun selepas merdeka pula kita harus berjuang memajukan negara serta berusaha untuk bersaing dengan negara luar.

“Malah, untuk mengekalkan kemerdekaan kita harus bersikap kemandirian selain tidak membiarkan diri dikongkong orang lain,” katanya.

Terdahulu, Malam Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 anjuran DUN Bukit Melawati menampilkan pelbagai aktiviti antaranya deklamasi sajak, pertandingan Kampungku Patriotik, pertandingan Pakaian Kebangsaan Kanak-Kanak dan cabutan bertuah.


Pengarang :