BUDAYARENCANA

Orwellian, bahasa dan kuasa

Oleh Johan Radzi

Saban hari, kita mendengar kalimat “Orwellian” dilontar sewenang-wenangnya ke gelanggang perbahasan politik dan sastera. Ketika kalimat ini disebut, di kepala kita sudah berkhayal tentang sebuah negeri antah-berantah bernama Oceania, wajah-wajah Big Brother, dan pemerintahan kuku besi Ingsoc ke atas rakyat jelata. Itu novel 1984 – ramalan George Orwell tentang suatu masa depan distopia. Buku itu dikarang pada 1949, sewaktu United Kingdom sedang bangkit daripada sekam Perang Dunia Kedua yang menghanguskan segenap benua Eropah.

Tetapi sebetulnya, apakah “Orwellian”? Banyak orang akan mengujar bahawa ia suatu keadaan hidup di bawah pemerintahan yang opresif, yang mengawal tatanan masyarakat dengan ketat, yang mengawasi setiap gerak-geri langkah, yang menyebarkan propaganda dan penyembelihan, yang menyongsangkan sejarah dan fakta, yang mengamalkan kaedah-kaedah kediktatoran seperti penyebaran ketakutan, kehilangan paksa, dan sabotaj.

Jika dilihat selayang pandang, itu memang benar. Tetapi setelah khatam bacaan karya itu, didapati ada sesuatu yang lebih fundamental ingin disampaikan. Dimensi ini tidak banyak disebut khalayak tetapi tetap mustahak dan wajar diberi perhatian jika kita benar-benar ingin susuri gagasan George Orwell. Ia adalah sisi reduksi bahasa iaitu matlamat untuk menjadikan bahasa sebagai alat pengawalan minda berbanding obor pencerah fikiran.

Batas bahasa saya adalah batas (fahaman saya ke atas) dunia saya, sabda Ludwig Wittgenstein. Tetapi bagaimana pula apabila bahasa dikawal dan diselia oleh birokrasi? Di Oceania, pemerintahan Ingsoc memperkenal dialek baru bernama “Ucapbaru” (newspeak), yang direka untuk meringkaskan bahasa Inggeris menjadi miskin kosa kata. Ia tetap bahasa Inggeris, tetapi kerumitan bahasa tersebut dicantas. Dalam dialek ini, kalimat-kalimat yang rumit dipangkas, makna-makna dijungkir-balik, dan bahasa direduksi sedangkal mungkin untuk mengehadkan sebarang erti yang boleh membawa kepada pemberontakan massa. Seperti yang dibilang Syme, kawan kepada protagonis Winston Smith yang menukang Kamus Ucapbaru Edisi 11:

“Tidakkah kau melihat bahawa setiap matlamat Ucapbaru adalah untuk menyempitkan lorong fikiran? Akhirnya kita boleh jadikan fikirpidana (thoughtcrime) pupus, kerana sudah tidak ada lagi kalimat untuk menzahirkannya. Setiap konsep yang kita perlukan akan dizahirkan dengan hanya satu kata, dengan maknanya yang diperkemaskan dan erti-erti sampingan disingkir dan dilupakan.”

Tetapi bagaimanakah ucapbaru berfungsi? Syme memisalkan:

“Ambil ‘baik’ sebagai contoh. Kalau aku sudah ada perkataan ‘baik’, apa perlunya lagi untuk perkataan ‘buruk’? ‘Tak baik’ pun dah memadai – bahkan lagi bagus sebab kerana ia membawa erti berlawanan, sementara yang satu lagi tidak. Atau kalau kau nak versi ‘baik’ yang lagi berkesan, apa gunanya kita memakai ‘hebat’ atau ‘agung’ dan segala-galanya? ‘Amat baik’ pun dah memadai, atau ‘amat baik ganda’ kalau kau masih nak tinggalkan jejak yang lagi mendalam.”

Ucapbaru amat leluasa di Oceania. Malah ia turut terlihat pada slogan parti itu sendiri:

Perang itu Damai

Merdeka itu Hamba

Jahil itu Perkasa

Begitu juga dengan nama-nama jabatan pemerintahan:

Kementerian Damai kendalikan peperangan, Kementerian Sahih dengan pembohongan, Kementerian Kasih untuk penyeksaan, dan Kementerian Mahsul buat kebuluran.

 Kontradiksi-kontradiksi ini bukannya kebetulan, ataupun kemunafikan tetapi amalan terancang yang dinamakan fikir ganda (doublethink). Ucapbaru memang membingungkan. Ia menjurus kepada suatu simptom bernama fikir ganda, lantaran menerima erti-erti penuh kontradiksi memasuki kepala. Seperti yang dibilang Orwell, fikir ganda adalah keupayaan untuk menanggapi dua fakta bercanggah dan meyakini ia sahih sekaligus. Akibat kerancuan fikiran ini, warga Oceania sentiasa berpaut pada pemerintah sebagai pengemudi arah. Pemerintahlah yang menguasai bahasa, kepada pemerintah jualah tersemat segala erti dan makna. Jika berlaku keengganan, atau warganegaranya mempamerkan simptom perlawanan, seperti lazim mereka akan dikirim ke Kamar 101, sebuah bilik ala gulag untuk pembetulan minda – biasanya atas jalan penyeksaan dan pemaksaan.

George Orwell merupakan sasterawan yang mengataskan fungsi bahasa dan politik Kebebasan. Pada hujung riwayatnya beliau banyak mengkaji perihal kesan belenggu bahasa (terutama Inggeris) pada minda manusia, dan kesannya ke atas dunia politikal dan vice versa. Di dalam eseinya berjudul Politik dan bahasa Inggeris (1946), George Orwell mengingatkan kita:

“Bahasa politikal ditukang untuk menampakkan bohong seperti benar dan penyembelihan itu bermaruah, dan cuba untuk memberi citra konkrit kepada angin kosong.”

Orwell ingin memaklumkan kita pengawalan minda via bahasa bukan sahaja boleh terjadi dalam pemerintahan kuku besi tetapi juga di negara-negara demokratik. Selalunya akan wujud institusi atau kelompok tertentu yang cuba menyembunyikan makna sebenar sesuatu kalimat dengan alas euphemisme dan kekaburan, atas tujuan politikal.

Tetapi mengapa euphemisme? Kenapa mereka yang berkuasa tidak terus berlaku jujur dengan memakai kalimat yang tepat? Di dalam esei tersebut beliau melanjutkan:

Marcapada, kebanyakan tulisan dan pidato politikal dibuat untuk membela kemungkaran-kemungkaran yang tak terbela. Hal-hal seperti pelanjutan pemerintahan Inggeris di India, pembasmian dan pengiriman warga Russia, pengguguran bom atom di Jepun, hanya boleh dibela, tapi hujah-hujah demikian barangkali terlalu pahit buat masyarakat am untuk telan, dan tidak selari dengan matlamat-matlamat yang kononnya disandang oleh parti-parti politik tersebut. Maka, bahasa politikal perlulah mengandungi banyak euphemisme, pinta-pintaan, dan kekaburan. Kampung-kampung yang dibedil dari angkasa, orang-orang desa yang dihalau, haiwan ternakan ditembak-tembak, teratak-teratak dibakari: semua ini dipanggil kedamaian. Ribuan warga marhaen yang dirompak hasil ladang mereka dan melukut di tepi gantang: ini dipanggil perpindahan populasi atau rektifikasi barisan perang. Orang-orang ditahan tanpa bicara, ditembak di belakang atau di leher, atau dihantar ke kem-kem paksa Artik: ini dipanggil penyingkiran elemen-elemen yang tak dikehendaki. Frasologi ini diperlukan sekiranya seseorang mahu menyebut sesuatu tanpa menimbulkan gambaran mental ke atas perkara-perkara tersebut.

Bahasa berjalan berdamping dengan kuasa. Inilah yang cuba ditekankan Orwell pada hari-hari akhirnya, sebelum beliau akhirnya meninggal dunia akibat sakit Tuberculosis pada 1950, kira-kira setahun selepas terbitan novel 1984. Lewat dasawarsa ini, kita melihat bagaimana bahasa dirangka semula, di seantero dunia, atas tujuan politikal – yang sebetulnya tidak jauh beza daripada kejadian yang berlaku pada zaman Orwell. Pesan-pesan ini bergema sehingga ke hari ini, malah lebih relevan meninggalkan karya-karya distopia sezaman lain seperti Brave new World, The Handmaid’s Tale, dan Fahrenheit 451 di belakang. Tetapi gejala “Orwellian” yang paling terkini dan menjengkelkan sudah tentu terbit di Amerika Utara, daripada bibir-bibir pahlawan Kanan-Alternatif yang sering melecut kalimat “Orwellian” kepada penentang-penentang mereka kerana menyahplatform mereka di media dan mimbar, atau mereka yang tidak sejalur dengan fikrah autoritarian dan xenofobia mereka; meskipun kita tahu ia sepenuhnya absurd dan sarat ironi memandangkan George Orwell sendiri menghabiskan seluruh riwayatnya melawan sebarang bentuk fasisme jiwa dan raga. Ini tidak lain merupakan dosa terberat atas nama sasterawan agung tersebut.


Pengarang :