SELANGOR

Penduduk Batu 10 hasilkan tanjak gergasi 108 meter

CHERAS, 2 SEPT: Tanjak gergasi sebesar 108 meter menggunakan bendera Malaysia berjaya dihasilkan penduduk Batu 10, di sini yang menghiasi pintu masuk kampung tradisi itu.

Pengarah projek, Mohd Azlan Mohd Nor berkata, idea itu tercetus pada saat akhir sebelum Hari Kebangsaan selepas menyaksikan banyak hasil seni dihasilkan rakyat Malaysia mewarnai sambutan merdeka.

Katanya, perbincangan diatur Isnin lalu sebelum lakaran pelan dan penghasilan tanjak berkenaan dibuat sejak Rabu (28 Ogos) serta siap pada malam Khamis (29 Ogos).

“Ekoran semua bekerja, jadi kami buat pada waktu malam bermula 9 malam hingga 2 pagi.

“Kebanyakan peralatan yang digunakan adalah barangan terpakai, sementara rangka menggunakan tiga batang buluh yang diambil hutan berhampiran kampung kami,” katanya ketika ditemui SelangorKini, baru-baru ini.

Mohd Azlan berkata, tema tanjak dipilih melambangkan semangat kemelayuan dan kesultanan Raja Melayu bertepatan dengan kampung itu yang sebilangannya berbangsa Melayu.

“Tanjak juga dipilih melambangkan pahlawan Melayu yang tidak lari dengan kesenian silat.

“Kampung kami mempunyai Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Kampung Batu 10 Cheras yang masih mengekalkan tradisi Melayu.

“Malah, penduduk kampung sememangnya aktif dalam aktiviti kemasyarakatan gotong-royong, jadi apabila tiba Hari Kemerdekaan ini kami isi aktiviti dengan semangat merdeka pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu 10, Napiah Harun berbangga dengan semangat anak muda kampung dalam menggerakkan aktiviti kemerdekaan yang julung kali diadakan.

“Kalau bukan kita yang semarakkan kemerdekaan siapa lagi. Lama-kelamaan erti kemerdekaan itu akan hilang, bimbang tidak sampai ke generasi akan datang jika ia dibiarkan lesu.

“Tambahan pula, kita sekarang berdepan cabaran perpaduan. Saya harap erti kemerdekaan ini sampai ke jiwa semua kaum dan bersamalah kita menghargai perpaduan yang ada dalam negara ini,” katanya.


Pengarang :