AGAMASELANGOR

Perlu kerjasama semua pihak tangani isu dadah, zina

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor (Darul Wardah) mahu kerjasama semua pihak dalam usaha pencegahan, kesedaran, advokasi, penguatkuasaan dan pemulihan bagi mendepani isu zina serta dadah golongan remaja masa kini.

Pengasas dan Pengerusinya, Hazlina Abd Razak berkata, pihaknya mahu isu kehamilan luar nikah dan dadah perlu diberi penekanan seawal 12 tahun menerusi pelbagai inisiatif.

“Statistik menunjukkan kehamilan anak luar nikah sebanyak 33 peratus membabitkan remaja yang berusia 13 tahun dan kita jangkakan ia akan meningkat.

“Oleh itu, program advokasi perlu dibuat seawal 12 tahun dan semua pihak perlu berganding bahu mewujudkan kerjasama strategik dalam mendepani cabaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dan Darul Wardah, di Pusat Perlindungan Darul Wardah, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAIWP), Ahmad Shukri Yusoff.

Pada masa sama, Hazlina berkata, berdasarkan pengalaman pertubuhan itu, kes kehamilan luar nikah itu sering terkait dengan isu seperti pengambilan arak dan dadah malah kes sebegini berlaku bukan sahaja dalam kalangan remaja bahkan wanita dewasa

“Sebagai pertubuhan yang menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan, kami memerhati dan mengkaji setiap kes yang didaftarkan dan diapati ada pelbagai faktor yang menjurus mereka kepada zina.

“Kebanyakkan kes zina juga berkait dengan dadah. Oleh itu, kita mahu semua pihak juga memberi penekanan berkait dengan kes dadah kerana dalam tempoh dua tahun ini, kedua-dua kes ini berkait,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, lawatan pihaknya ke Darul Wardah bagi membincangkan kerjasama strategik dalam usaha memulihkan remaja yang terjebak dengan masalah sosial.

“Selain program kesedaran, kita juga akan membantu pusat ini dari segi kewangan,” katanya.


Pengarang :