Selangorkini
Pelbagai

Syarikat kitar semula plastik didenda RM80,000

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sebuah syarikat kitar semula plastik didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan kerana beroperasi tanpa kelulusan dan mencemarkan alam sekitar pada Mac lepas.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas Syarikat Twin Cycle Resources Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS), diwakili pengarah syarikat, Noreaida Md Shah, 36, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat yang baru beroperasi tahun ini didapati menjalankan aktiviti mengitar semula plastik terpakai tanpa mendapat sebarang kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling seperti mana yang ditetapkan.

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat tersebut didapati gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Ketua Pengarah terlebih dahulu sebelum membina kemudahan membasuh plastik terpakai yang boleh menghasilkan punca baharu pembuangan efluen perindustrian atau efluen bercampur.

Syarikat berkenaan dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 49(1)(b) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 32, peraturan dan akta yang sama.

Mengikut pertuduhan ketiga, syarikat itu didapati gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Ketua Pengarah terlebih dahulu sebelum menjalankan kerja atas premisnya yang boleh mewujudkan suatu punca pengeluaran pencemaran udara.

Bagi pertuduhan keempat pula, syarikat itu didapati gagal melengkapkan premis dengan sistem kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.

Syarikat itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan masing-masing di bawah Peraturan 5(1)(b) dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 29, peraturan dan akta yang sama.

Keempat-empat kesalahan tersebut didakwa dilakukan syarikat berkenaan di Lot 1335, Jalan Mohd Taib, Kawasan Perindustrian Sungai Choh, Rawang kira-kira pukul 12.01 tengah hari pada 5 Mac lepas.

Jika sabit kesalahan, OKS boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, OKS boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, OKS boleh didenda masing-masing sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Rofiah dalam penghakimannya menyatakan hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan kepentingan semua pihak dan menasihati pengarah syarikat wanita itu supaya sentiasa prihatin dengan kesan yang dihasilkan oleh premis berkenaan kepada orang ramai.

“Walaupun berniaga, kita kena ada tanggungjawab dan prihatin dengan kesan (aktiviti kitar semula) kepada orang ramai. Mungkin ada bayi, ada orang tua dan penghidap asma (di kawasan sekitar premis). Efluen yang dialirkan ke sungai juga boleh menjejaskan haiwan dan pendapatan orang lain.

“Kita kena pastikan aktiviti yang dijalankan memenuhi standard yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar. Hukuman yang dikenakan memadai buat pengajaran kepada semua pihak. Saya berharap awak tidak datang ke sini lagi atas kesalahan sama,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Nor Faizura Mohd Ali manakala OKS diwakili peguam Nasrul Hadi Mat Saad.

-BERNAMA


Pengarang :