EXCOSELANGOR

Selangor mahu tarik kehadiran pelabur Hong Kong

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri berharap pertemuan dengan The Hong Kong Chinese Importers and Exporters Association (HKCIEA) dapat merancakkan semula kehadiran pelabur dari Hong Kong di Selangor yang suram sebelum ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Kim berkata, bidang logistik dan industri perkapalan dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kerana kedua-dua pihak mempunyai sistem pelabuhan yang baik.

“Hubungan perdagangan Malaysia-Hong Kong selama ini agak rapat tetapi hubungan dengan Selangor agak diabaikan. Kita melihat potensi pelaburan dari Hong Kong walaupun kurang aktif tetapi masih sepuluh tertinggi.

“Dalam tempoh dua tahun ini kita telah merancakkan promosi pelaburan Negeri Selangor di Hong Kong. Dalam setahun lalu saya sudah empat kali ke Hong Kong bagi melawat dan bertemu dewan perniagaan serta menyertai pameran di sana.

“Kita lihat langkah itu berhasil dalam membina semula hubungan pelaburan dengan harapan kita akan mendapat perhatian komuniti perdagangan dari Hong Kong,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, pejabat promosi perdagangan Hong Kong yang beroperasi di Kuala Lumpur akan memudahkan lagi urusan untuk menarik pelaburan ke Selangor.

Chang Kim bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa lebih satu jam berbicang bersama deligasi HKCIEA yang diketuai Naib Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Mantan Ketua Eksekutif Hong Kong SAR, Leung Chun Ying di Hotel Concorde, semalam.


Pengarang :