BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Roboh rumah haram Paya Jaras demi atasi banjir

SHAH ALAM, 19 SEPT: Perobohan 82 struktur kediaman haram di atas tanah rizab di pinggir Sungai Kedondong, dekat sini, semalam dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di empat kampung di Paya Jaras.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras menjelaskan tindakan itu bertujuan menjayakan projek rancangan tebatan banjir yang tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu.

Mohd Khairuddin Othman berkata, masalah banjir terpaksa terus diharungi penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu akibat kelewatan projek tersebut.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini membabitkan kos RM5.93 juta dirancang sejak 2008. Ia bermula pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

“Bagaimanapun, sehingga kini ia diberi dua kali lanjutan masa (EOT) iaitu dari 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018 dan EOT kedua bermula 26 Julai 2018 hingga 18 September lalu.

“Lanjutan ini disebabkan keengganan penduduk yang mendiami struktur kediaman secara haram terbabit untuk berpindah,” katanya kepada SelangorKini.

Rumah di pinggir Sungai Kedondong, Paya Jaras dirobohkan dalam operasi pihak berkuasa Selangor pada 18 September. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Susulan itu, Selangor menanggung kerugian kira-kira RM2,125.02 sehari. Manakala kerugian lain sekitar RM715,574.20 yang membabitkan bahan binaan seperti geotekstil, selimut kawalan hakisan dan sistem tembok mekanikal penstabil bumi yang telah lama berada di tapak menjadi rosak kerana terbiar serta tidak digunakan.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata, kelewatan projek itu dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu.

“Tindakan meroboh ini adalah mematuhi semua prosedur dan undang-undang ditetapkan,” katanya, dengan menambah Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menawarkan Rumah Selangorku kepada penduduk terbabit.

 

Berikut kronologi berhubung isu itu yang kini menarik lebih perhatian susulan perobohan tersebut:

Awal 1980-an: Masyarakat pendatang asing mula mendiami pinggir Sungai Kedondong. Selepas tahun 2000, jumlah itu bertambah dengan lebih ketara sehingga, pada masa ini, terdapat 82 rumah.

2008: Kerajaan Negeri memulakan kajian dan perancangan bagi mengatasi isu banjir di Paya Jaras.

2 Disember 2015: Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong membabitkan komponen utama sepanjang 1.15 kilometer bernilai RM5.93 juta dimulakan. Ia dijadualkan siap pada 31 Mei 2017.

12 Mei 2016: Penyerahan notis bagi bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara bagi kesalahan menduduki tanah Kerajaan tanpa kebenaran sah.

20 Julai 2016: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan penangguhan penguatkuasaan bagi mencari penyelesaian berhubung keengganan pemilik berpindah.

21 Julai 2016: Bancian semula jumlah struktur binaan di situ dijalankan oleh Unit Penguatkuasa PDT Petaling.

Kediaman penduduk di kawasan rizab Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina secara tidak sah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

22 Februari 2017: Taklimat isu penempatan di Sungai Kedondong dan Sungai Pelempas untuk mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan YB Haji Zaidy Abdul Talib di Pejabat YB Dato’ Iskandar Abdul Samad di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

1 Julai 2017: EOT pertama diperolehi, bermula 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018.

26 Julai 2018: EOT kedua diperolehi, dari 26 Julai 2018 hingga 18 September 2019.

3 Disember 2018: Jabatan Audit Negara membentangkan laporannya di Parlimen berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.

5 Ogos 2019: Hasil libat urus Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, yang dimulai 3 Ogos, seramai 82 pemilik struktur haram itu ditawarkan pembelian Rumah Selangorku.

5 Ogos 2019: PDT Petaling telah menyampaikan notis bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada semua penduduk yang terlibat.

4 September 2019: Sekumpulan penduduk terbabit mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SSAAS) di Shah Alam.

17 September 2019: Unit Penguatkuasa PDT Petaling telah turun membuat bancian struktur di plot C dan D.

18 September 2019: Kerja merobohkan struktur kediaman haram atas plot C dan D di pinggir Sungai Kedondong dijalankan. Ada sebahagian struktur tidak dirobohkan kerana anak mereka sedang mengambil peperiksaan UPKK dan PT3.

Operasi penguatkuasaan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.


Pengarang :