AGENDASELANGORSUKANKINI

Selangor ada peluang cerah ke separuh akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 25 SEPT: Meskipun ketinggalan agregat 0-1 ke atas Perak, namun Selangor masih ada peluang cerah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sekiranya pemain memberikan aksi terbaik pada perlawanan suku akhir kedua Ahad nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon yakin aksi terbaik mampu ditonjolkan anak buah B Sathianathan jika mendapat sokongan padu penyokong skuad The Red Giants itu.

“InsyaAllah kita ada peluang cerah jika pemain dapat berikan yang terbaik dan ramai penyokong yang hadir untuk memberi semangat kepada pasukan.

“Saya seru rakyat Selangor hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan yang padu kepada pemain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Selangor bakal melayan kunjungan The Bos Gaurus di Stadium Shah Alam selepas ketinggalan agregat 0-1 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Ipoh, Perak.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan Brendan Gan pada minit ke-13.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada musim ini dalam saingan Liga Super, Perak mempunyai sedikit kelebihan apabila mencatat kemenangan 3-2 di tempat sendiri dan terikat 1-1 di Shah Alam.

Bagaimanapun sama seperti tahun-tahun sebelumnya, saingan Piala Malaysia sering menampilkan kelainan berbanding Liga Super.


Pengarang :