Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada lagi insentif cukai untuk syarikat tidak berkembang maju

PETALING JAYA, 26 SEPT: Syarikat yang diberikan insentif cukai tetapi gagal berkembang maju tidak lagi akan diberikan layanan sama jika terus beroperasi dengan cara sama, pada masa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC).

“Terdapat cadangan dikemukakan pada waktu kami menubuhkan jawatankuasa (pembaharuan cukai), yang mungkin membabitkan insentif cukai ditawarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), misalnya.

“Kami bersetuju jika mana-mana syarikat mendapat kelulusan bagi insentif itu pada masa lalu, dan masih berada di takuk lama dan sedikit sebanyak bergerak ke hadapan, ia sepatutnya tidak meneruskan untuk insentif itu diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa diminta mengulas cadangan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram supaya kerajaan memansuhkan insentif cukai yang tidak lagi relevan.

Sidang media itu diadakan selepas Persidangan Industri 4.0 2019 Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di sini, hari ini.

Semalam, Jomo dipetik sebagai berkata, Malaysia menawarkan insentif cukai sejak 1950-an dan sesetengah syarikat memanipulasi akaun mereka untuk terus menikmati insentif cukai itu.

“Kami tidak boleh menarik balik insentif yang diberikan, tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah memperhalusi semula dasar insentif kami, untuk masa depan.

“Tetapi sekiranya mereka membawakan produk dan proses berteknologi tinggi dan pelaburan modal baharu, saya fikir perkara seumpama ini patut digalakkan,” kata Ong.

-BERNAMA


Pengarang :