Datuk Abdul Rashid Asari (tengah) bergambar bersama kakitangan KDEBWM, Kumpulan Peransang Selangor dan Pelajar SMK Pulau Ketam ketika Program Kitar Semula dan Kesedaran Pengasingan Sisa Pepejal di SMK Pulau Ketam pada 26 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

KDEBWM, Perangsang Selangor bersatu bersihkan Pulau Ketam

PULAU KETAM, 26 SEPT: Kumpulan Darul Ehsan Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) bergabung tenaga menganjurkan program Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal di Sekolah Menengah Pulau Ketam, hari ini.

Seramai 30 orang sukarelawan terdiri daripada warga kerja kedua-dua agensi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meningkatkan kesedaran terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar melalui penerapan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari dalam ucapannya berkata, jumlah sisa pepejal di Malaysia semakin bertambah setiap hari tetapi berhadapan masalah kekurangan pusat pengurusan sisa pepejal.

Katanya, program sebegini perlu diteruskan supaya kesedaran menjaga kebersihan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat.

“Sejumlah 35,00 tan sampah dihasilkan setiap hari. Bayangkan jumlah itu kian bertambah setiap hari. Amalan 3R iaitu pengurangan, guna semula dan kitar semula perlu dijadikan gaya hidup baharu.

Kakitangan KDEBWM dan Kumpulan Perangsang Selangor berganding bahu membersihkan sisa pepejal di sekitar Pulau Ketam ketika Program Kitar Semula dan Kesedaran Pengasingan Sisa Pepejal di SMK Pulau Ketam pada 26 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Program CSR seperti ini diharapkan dapat menjadi pemangkin buat semua pihak untuk bersama-sama memelihara kebersihan melalui kepentingan mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan supaya menjaga kebersihan Pulau Ketam ekoran lokasi itu menjadi tumpuan pelancong setiap tahun.

Perangsang Selangor diwakili Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik, Mohd Fauzi Mohd Ghazali sementara Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat, Ahmad Rizal Mohd Daud mewakili KDEBWM.

Abdul Rashid turut menyerahkan tiga set tong sampah kitar semula sebagai simbolik program kepada wakil penduduk Pulau Ketam, Chua Chua Tie, di Dataran Tan Sri Dato Lim Kuang Sia manakala Perangsang Selangor menyumbangkan RM1,500 kepada Sekolah Menengah Pulau Ketam bagi tujuan pembelian alat siaraya.

Selesai sesi taklimat, semua sukarelawan meneruskan aktiviti gotong-royong dengan mengutip sisa pepejal di sekitar Pulau Ketam serta melawat pusat kitar semula.


Pengarang :