Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

TPM: NFCP pelan dinamik lima tahun

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) merupakan pelan pelaksanaan lima tahun dari 2019 sehingga 2023 yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pelan yang berpaksikan tujuh sasaran utama dengan kos kira-kira RM21.6 bilion itu merupakan pelan kerajaan untuk menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Tujuh sasaran itu ialah pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar satu peratus Pendapatan Negara Kasar (GNI) pada 2020; ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri pada 2023; 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih tersedia dengan capaian minimum 500Mbps pada 2021.

Ia turut merangkumi 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps pada 2022; rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos pada 2022; kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk pada 2023 dan penambahbaikan liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo setelah selesai pembinaan.

Di bawah NFCP, Dr Wan Azizah berkata, kira-kira 4.14 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar kelajuan yang lebih tinggi melalui rangkaian gentian optik.

“Lebih ramai rakyat akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar, termasuk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar,” katanya ketika melancarkan NFCP itu di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan NFCP dianggar mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, operasi serta penyelenggaraan infrastruktur digital.

“Projek NFCP ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan B40 dan M40, di mana pelbagai kepakaran dan kemahiran diperlukan untuk membina infrastruktur digital ini,” katanya.

Pembinaan infrastruktur digital di bawah NFCP akan memberi manfaat kepada syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor kecil dan pembekal peralatan yang akan memberi impak yang positif kepada ekonomi negara, katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan NFCP juga penting memastikan Malaysia kekal sebagai ‘preferred choice’ bagi pelabur asing.

“Kita harus menyedari betapa pentingnya persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan aliran masuk modal asing dan teknologi, demi untuk mengukuhkan daya saing industri Malaysia di pasaran global,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan NFCP tepat pada masanya kerana ia akan menjadi satu platform atau landasan untuk negara menyambut ketibaan 5G menjelang tahun 2021 atau 2022.

“Industri vertikal tanah air yang bakal memanfaatkan teknologi 5G di masa hadapan termasuklah automotif, bandar pintar, keselamatan awam, media dan hiburan, pertanian, pendidikan, pengilangan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kesalinghubungan akan menjadi lebih kritikal dalam konteks Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), di mana dunia tanpa sempadan kini telah bertukar ke era ‘boundless connectivity’.

Beliau berkata, NFCP juga akan memberi kesan kepada setiap industri dan secara langsung melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Memetik kajian oleh Bank Dunia, Wan Azizah berkata, kenaikan sebanyak 10 peratus bagi kadar penembusan jalur lebar talian tetap akan menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 1.38 peratus, iaitu sebanyak hampir RM20 bilion.

Dr Wan Azizah berkata, melalui pembuatan pintar, kerajaan berharap ia mampu menarik ‘high value-added, high technology’ dalam bidang seperti aeroangkasa, bahan kimia dan produk kimia, jentera dan peralatan, peralatan perubatan dan elektrik elektronik.

Beliau berkata, prestasi sektor elektrik dan elektronik yang mewakili bahagian terbesar eksport negara iaitu 38 peratus juga boleh dipertingkatkan lagi ke rantaian nilai yang lebih tinggi seperti pembuatan litar bersepadu dan fabrikasi.

“Dalam konteks ini juga, kira-kira 98.5 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi sektor pembuatan. Oleh itu, sektor tersebut berpotensi untuk memperkuatkan daya saing serta mempamerkan dinamisme selain dari menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Mengenai kos RM21.6 bilion bagi pelaksanaan NFCP itu, Dr Wan Azizah berkata, kira-kira antara RM10 bilion dan RM11 bilion akan diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun Universal Service Provision (USP) Fund.

Selebihnya pula akan dilaburkan oleh pemberi perkhidmatan bagi membina rangkaian gentian optik dan pemancar komunikasi mudah alih antaranya, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :