SELANGOR

KPDNHEP Selangor tahan tiga lelaki, rampas 279 tong gas

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan tiga lelaki serta merampas 279 tong gas dan 4,632 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam satu serbuan semalam.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan penguatkuasa KPDNHEP Selangor dan Putrajaya di sebuah premis di Bukit OUG Industrial Business Park, Kuala Lumpur itu dilakukan hasil risikan sejak dua minggu lepas.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemukan 279 tong LPG terdiri daripada 33 tong 12kg, 224 tong 14kg dan 22 tong 50kg disimpan di situ. Bagaimanapun hanya 151 tong berisi LPG manakala 128 tong lagi kosong.

“Semasa serbuan, terdapat tiga lelaki tempatan di dalam premis itu. Dua daripada mereka merupakan pekerja manakala seorang lagi mengaku premis itu miliknya. Kesemuanya kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebuah lori dua tan serta sejumlah invois transaksi pembelian dan penjualan LPG turut dirampas semasa serbuan melibatkan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM 58,688 manakala nilai sitaan gas LPG sahaja sebanyak RM4,956.

Menurutnya, siasatan awal mendapati syarikat yang beroperasi di premis itu disyaki menyimpan tong LPG bersubsidi di tempat yang tidak dilesenkan dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Muhamad Zikril Azan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta bagi syarikat perseorangan manakala RM2 juta bagi pertubuhan atau penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan perniagaan berkaitan barang kawalan haruslah berlesen selain mengemaskini buku stok dengan baik.

“Kerajaan amat memandang serius isu penyelewengan LPG bersubsidi sebegini dan tindakan tegas pasti akan dikenakan kepada mana-mana peniaga bagi mengelakkan berlakunya ketirisan barangan kawalan seterusnya membendung kegiatan berkenaan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :