Ng Sze Han (kanan) menyuapkan kek kepada seorang warga emas ketika Program Baucer Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas di Giant Bukit Kinrara, Puchong pada 21 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Warga emas gembira sambut hari jadi bersama EXCO

PUCHONG, 21 SEPT: Kira-kira 20 warga emas dari Bandar Kinrara gembira apabila diraikan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han sempena sambutan ulang tahun kelahiran mereka.

Mohd Khairuddin Ali, 65, berkata dia gembira kerana masih ada yang mengingati ulang tahun kelahirannya walaupun sudah semakin berusia.

“Saya ingatkan hari ini datang hendak ambil baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sahaja, tetapi tiba-tiba diminta tiup lilin pula, sudah tentu saya seronok,” katanya.

Bagi Lim Cheah, 72, pula kali terakhir dia menyambut hari jadi kira-kira 10 tahun lalu.

“Pada waktu itu isteri saya masih ada, selepas dia meninggal, saya sudah berat hati hendak makan kek ataupun menyambut hari jadi, tidak sangka pula ada Yang Berhormat (YB) mengingati hari jadi saya dan kami dapat sambut bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata, sambutan berkenaan dibuat ketika penyerahan baucar SMUE bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)nya di Giant Kinrara, hari ini.

“Kita buat sedikit kelainan berbanding tempat lain, selain gembira menerima baucar, warga emas ini sudah tentu sangat seronok apabila diraikan lebih-lebih lagi pada hari kelahiran mereka.

“Saya juga gembira apabila pelbagai kaum berkumpul hari ini termasuk Melayu, Cina, India dan Punjabi, pada saya ia juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim kita,” katanya kepada SelangorKini.

Sehingga kini, seramai 5,195 warga emas DUN Kinrara mendaftar bagi SMUE, dengan 111 daripadanya adalah Orang Kelainan Upaya.


Pengarang :