AGENSISELANGOR

1,368 anggota bomba sedia digerak jika banjir

SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga menggerakkan 1,368 anggota serta pegawai bagi menghadapi peningkatan kes banjir dan banjir kilat di negeri itu berikutan peralihan Monsun Timur Laut ketika ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti 52 kawasan ‘panas’ yang dijangka dilanda kejadian itu susulan daripada analisis trend fenomena berkenaan tahun lepas.

“Walaupun kesan peralihan monsun tidaklah terlalu hebat melanda pantai barat berbanding di pantai timur, namun kita tetap bersedia kerana sekiranya taburan hujan yang tinggi dan luar biasa, ia mampu mengakibatkan banjir kilat.

“Ini kerana, sejak Januari hingga Ogos lepas, kesemua kawasan terbabit merekodkan 75 kes banjir dan banjir kilat. Kejadian ini berlaku bukan dalam tempoh monsun yang membawa hujan lebat, sebab itulah apabila berlakunya peralihan ini (Monsun Timur Laut), kita lebih bersiap siaga,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JBPM Selangor, di sini hari ini.

Menurut beliau, daerah Klang dan Hulu Langat merekodkan lokasi ‘panas’ banjir kilat paling tinggi iaitu masing-masing 11 kawasan diikuti Petaling (10), Gombak (10), Kuala Selangor (4), Sepang (3), Hulu Selangor (2) dan Kuala Langat (1).

Justeru itu, katanya, JBPM Selangor melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan tersebut setiap hari terutamanya apabila berlakunya hujan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai khususnya di kawasan terlibat supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya didapati berlakunya banjir atau banjir kilat.

Dalam pada itu, Hafisham turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti di air termasuk pendakian bukit sepanjang tempoh peralihan monsun berkenaan.

“Musim hujan sebegini boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan ini meningkatkan risiko kepada para pendaki. Selain itu, permukaan tanah yang licin juga boleh dikatakan mempunyai 80 peratus risiko untuk mendatangkan kecederaan kepada golongan itu.

“Pada bulan ini saja, JBPM Selangor telah memberi respon kepada tiga kes membabitkan pendakian pada musim hujan. Disebabkan itu, kita nasihatkan orang ramai supaya elakkan sementara daripada melakukan aktiviti ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :