Foto Facebook Kami Anak Kedah
AGENDA NASIONAL

20 rumah rosak akibat puting beliung

JITRA, 20 OKT: Kira-kira 20 buah rumah rosak teruk dalam kejadian puting beliung yang melanda tiga buah kampung di Mukim Jeram, Tunjang di sini, petang ini.

Kampung tersebut ialah Kampung Pida 4 Deli, Kampung Permatang Keriang dan Kampung Gurindam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten Kamalruzamal Kasa berkata  kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin dan merosakkan sebahagian struktur rumah mangsa.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota bergegas ke lokasi bagi kerja pembersihan dan membantu penduduk yang terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Nurul Fahana Shahidan, 30, berkata angin kuat menyebabkan keseluruhan bumbung rumah pusaka keluarganya  diterbangkan angin.

Ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen, manakala anaknya Muhammad Ainol Farhan Mohd Azmi berusia setahun sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu rumah.

“Angin datang dengan sekelip mata menerbangkan bumbung rumah,  mujur saya sempat lari keluar bersama anak menyelamatkan diri  walaupun kayu siling rumah jatuh hampir menimpa kami,” katanya yang bersyukur terselamat dalam kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Fatimah Salam berkata, dia yang sedang mandi, terus keluar menyelamatkan diri sejurus terdengar bunyi angin kuat tiba-tiba menerpa rumahnya.

“Saya keluar menjerit memanggil dua anak berusia 29 dan 34 tahun supaya menyelamatkan diri dan kami sempat lari keluar sebelum bumbung rumah diterbangkan sejauh 50 meter di bendang belakang rumah.

“Sebelum itu, anak sulung sempat melaungkan azan dan anak kedua sedang peluk tiang rumah jiran kerana bimbang dibawa angin,” katanya yang menganggarkan kerugian dialaminya lebih RM10,000.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah  Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bergegas meninjau lokasi bencana dan menyampaikan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Selepas ini akan ada bantuan susulan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya minta pihak terbabit datang buat bancian untuk menentukan jumlah kerosakan untuk kerja membaiki rumah,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :