Datuk Seri Shaharuddin Khalid (barisan hadapan sepuluh, kanan) bersama kakitangan serta ahli Persatuan Penggiat Media Labuan selepas Program Ramah Mesra JPJ Wilayah Persekutuan Labuan Bersama Media Labuan di Lapang Sasar Tanjung Keramat Labuan petang semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

60,000 pemandu e-hailing lulus PSV

LABUAN, 25 OKT: Lebih 60,000 pemandu e-hailing lulus Lesen Vokasional Malaysia (PSV) seperti yang diwajibkan Kementerian Pengangkutan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Katanya, pada masa ini selain pendaftaran bagi mendapatkan lesen berkenaan yang berterusan setiap hari, JPJ juga meluluskan kursus latihan secara dalam talian di beberapa pusat dibenarkan.

“Kami secara berterusan mengadakan pendaftaran, mengadakan peperiksaan secara ramai-ramai untuk pemandu e-hailing, jadi kami boleh mempercepatkan proses menyediakan mereka dengan lesen yang diperlukan.

“Di Lembah Klang sahaja, kira-kira 2,000 pemandu e-hailing menduduki peperiksaan setiap minggu, kami mendapat sambutan amat menggalakan daripada mereka yang menjalankan operasi perniagaan e-hailing.

“Kami tidak lihat sebarang masalah dan pada hujung tahun ini. Kami jangkakan, kesemua pemandu e-hailing akan mempunyai lesen PSV,” katanya selepas program JPJ bersama Media di sini semalam.

Sementara itu, Shaharuddin berkata sehingga kini sejumlah 74,876 kenderaan sudah didaftarkan JPJ di pulau bebas cukai dengan 1,577 buah kenderaan didaftarkan dari Januari hingga 24 Oktober.

“Ini menunjukkan pendaftaran kenderaan baharu di Labuan berterusan dan kami mahu memastikan kesemua kenderaan yang didaftarkan, mengikut peraturan dan undang-undang yang diperlukan,” katanya.

Shaharuddin berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 1,801 pemandu baharu lulus lesen memandu masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :