ADNSELANGOR

ADN: Jangan takut jalani pemeriksaan mammogram

SHAH ALAM, 8 OKT: Sempena bulan Kesedaran Kanser Payudara, wanita disaran untuk tidak berasa takut, malu atau bimbang menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, untuk tujuan itu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melaksanakan Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSel) secara percuma buat semua wanita berusia 40 tahun ke atas.

“Saya menyarankan wanita perlu mengambil serius berkenaan perkara ini sekali gus menjalani saringan Mammogram kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

“Jika kita dikesan mempunyai simptom kanser sekurang-kurangnya kita tahu lebih awal untuk melakukan rawatan segera,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, seramai 60 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sudah menjalani pemeriksaan Mammogram di trak Majlis Kanser Nasional yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Permatang pada Mac lalu.

Manakala, baru-baru ini seramai 40 wanita DUN Permatang turut menjalani pemeriksaan itu di KPJ Klang pada 5 Oktober lalu.

Mula dilancarkan pada November 2010 sempena Sambutan Hari Wanita Desa 2010 peringkat negeri,
Program MammoSEL dirangka khusus untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita di Selangor.

Ia mula ditambah baik pada 2016 dengan penambahan rawatan susulan ultrasound bagi yang memerlukan atas nasihat doktor.

Untuk mendaftar, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di Pusat Khidmat DUN berhampiran.


Pengarang :