AGENDASUKANKINI

Bengals RC, UiTM Lions anjur kejohanan ragbi pada 9-10 November

SHAH ALAM, 29 OKT: Kelab Ragbi Bengals (Bengals) dengan kerjasama UiTM Lions akan menganjurkan kejohanan UiTM Lions-Bengals 10’s Rugby Challenge 2019 di Padang Ragbi UiTM Shah Alam pada 9 dan 10 November ini.

Presiden Bengals, Abd Rahim Wasik berkata, kejohanan julung kali anjuran bersama dua kelab itu membabitkan kategori lelaki bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun.

“Kejohanan julung kali ini adalah program pembangunan bersama dengan Kelab Ragbi UiTM Lions sebagai satu landasan untuk mencungkil bakat pemain yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kejohanan ini juga membuka peluang kepada pelajar sains sukan UiTM untuk menjalani latihan amali berhubung pengendalian kejohanan selain dapat menjayakan program keusahawanan sukan (sports entrepreneurship),” katanya dalam kenyataan.

Abd Rahim berkata, pelajar yang mengambil bahagian juga boleh meninjau peluang untuk melanjutkan pelajaran di UiTM, di samping meneruskan minat dalam sukan ragbi.

Sebanyak 16 pasukan dijangka akan mengambil bahagian untuk setiap kategori dan orang ramai turut dijemput menyaksikan kejohanan dua hari itu.

“Penganjur mengalu-alukan pihak korporat untuk menyokong kejohanan ini dengan menyumbangkan penajaan. Pihak koporat atau mana-mana pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh berhubung terus dengan Coach Ismarizal di talian 016-6796126,” katanya.


Pengarang :