Ratu Rock Ella menghiburkan tetamu Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Sungai Buloh di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh pada 28 April 2024. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat YB Dato’ Ramanan Ahli Parlimen Sungai Buloh
AGENDANASIONAL

Ella serikan rumah terbuka parlimen Sungai Buloh, lebih 5,000 hadir

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Lebih 5,000 tetamu hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini.

Ramanan berkata rumah terbuka itu, yang dianjurkan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Koop Sahabat, memberi peluang kepada pihaknya untuk menyantuni rakyat di samping meraikan Aidilfitri bersama rakan dan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Saya sangat berbesar hati dan terharu dengan sambutan luar biasa masyarakat. Inilah masa untuk saya menyantuni rakyat di samping meraikan rakan-rakan pelbagai kaum dengan penuh semangat perpaduan.

“Terima kasih diucapkan kepada AIM dan Koop Sahabat kerana bekerjasama dengan Pusat Khidmat Rakyat Sungai Buloh atas penganjuran yang cukup meriah ini terutama sahabat saya saudara Shamir dan warga kerja AIM,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan ditemu bual media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Sungai Buloh di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh pada 28 April 2024. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat YB Dato’ Ramanan Ahli Parlimen Sungai Buloh

Beliau berkata pusat khidmat rakyat dipilih sebagai lokasi rumah terbuka bagi mendekatkan rakyat dan masyarakat Sungai Buloh sebagai institusi penghubung antara rakyat dengan kerajaan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada hampir 200 individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah termasuk penggali kubur, pemandu van jenazah dan tok siak sekitar Parlimen Sungai Buloh.

Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Ratu Rock Malaysia iaitu Ella, Santesh dan kumpulan trio wanita Defam yang popular dengan lagu Alamak Raya Lagi!

Kanak-kanak turut dihiburkan dengan kehadiran dua maskot dan beberapa badut sepanjang majlis yang berlangsung dari 12 tengah hari hingga 3 petang itu.

Pelbagai juadah dihidangkan termasuk nasi beriani, kambing bakar, lemang, ketupat dan rendang hasil air tangan usahawan tempatan sekali gus menjadikan suasana rumah terbuka itu lebih bermakna.

Antara tetamu yang hadir ialah pemimpin politik parti, rakan strategik, pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensinya selain masyarakat tempatan Sungai Buloh.

-BERNAMA


Pengarang :