Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan MPAJ pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama syarikat antarabangsa tingkat kualiti sumber manusia negeri

AMPANG, 28 APRIL: Jalinan kerjasama dengan syarikat teknologi bertaraf antarabangsa menyumbang peningkatan kemahiran dan kualiti sumber manusia negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata dalam rangka lawatan kerja beliau dan delegasi ke Jerman baru-baru ini beberapa memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai dengan syarikat teknologi di Jerman.

“Kerjasama awal dengan Siemens setakat ini lebih 2,000 telah kita latih dan ini sekali gus memberi peluang kepda kita untuk meningkatkan kualiti dan pendapat pekerja yang ada dalam Selangor secara keseluruhan.

“Ini adalah langkah berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri supaya sentiasa berdaya saing dan mencapai sesuatu yang lebih baik berbanding prestasi negeri lain mahupun pencapaian daripada sudut pertumbuhan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang 2024 di tapak bazar Ramadan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan MPAJ pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata nilai tambah disediakan Kerajaan Negeri dalam pelbagai aspek termasuk infrastruktur menjadi antara faktor membolehkan pencapaian konsistem pertumbuhan ekonomi negeri dicapai.

“Tahun lepas pertumbuhan ekonomi kita melangkaui kadar nasional iaitu 4.5 peratus.

“Ini merupakan satu pencapaian konsisten yang kita lakukan kerana kita telah menambah nilai kemudahan infrastruktur di samping menggalakkan pertumbuhan program ekonomi yang ada,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menerusi beberapa anak syarikat termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah menandatangani MoU dengan beberapa syarikat teknologi Jerman.

Antara syarikat teknologi terlibat termasuk Siemens, KNX dan Mendix yang ditandatangani ketika lawatan delegasi Kerajaan Negeri melawat negara itu baru-baru ini bagi menyertai Hannover Messe iaitu persidangan dan pameran teknologi kejuruteraan mekanikal dan elektrik terkemuka dunia.


Pengarang :