AGENDANASIONAL

BN umum calon PRK Tanjung Piai hari ini

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari inin.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengumuman akan dibuat di Pusat Gerakan BN selepas solat isyak.

“Tadi saya bermesyuarat bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran menerusi Skype bagi memuktamadkan calon,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai Karmaine Sardini sebagai calon parti itu pada PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Bersatu, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA


Pengarang :