AGENDAGLOBAL

China-India tingkat kerjasama kajian ketamadunan

CHENNAI, 12 OKT: Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada semalam bersepakat untuk menggalakkan lagi pertukaran dan saling mempelajari mengenai tamadun bagi mencapai pembangunan dan kemakmuran bersama.

Xi dan Modi mengadakan pertemuan tidak rasmi kedua mereka di Chennai, Selatan India selepas mesyuarat pertama di bandar Wuhan pada April tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua, hari ini.

Modi turut mengiringi Xi melawat Monumen Mahabalipuram yang dibina pada abad ketujuh dan kelapan, termasuk Arjuna Penance, Panch Rathas, Kuil Shore dan monumen lain.

Tamil Nadu, hab transit maritim untuk kargo di Laluan Sutera purba, mempunyai sejarah panjang dan hubungan rapat dengan China dalam perdagangan sejak dahulu lagi, kata Xi.

Kedua-dua tamadun purba berusia ribuan tahun itu telah menjadi asas dalam hubungan kerjasama kedua-dua negara hingga ke hari ini, katanya.

Pada zaman nenek moyang pelbagai halangan berjaya dilalui untuk meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pembangunan kesusasteraan, kesenian, falsafah dan agama, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, kata Xi.

Presiden China itu juga menggesa kedua-dua negara mengambil peluang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik China-India pada tahun depan sebagai peluang menjalinkan jalinan budaya yang lebih meluas.

Beliau menyeru kedua-dua negara menyokong dan meneruskan dialog dan pertukaran untuk menyuntik lebih banyak daya penggerak ke dalam pembangunan hubungan dua hala.

Kedua pemimpin bersetuju China dan India perlu menghormati dan selain belajar antara satu sama lain bagi mencapai pembangunan serta kemakmuran bersama di samping mengembalikan semula dua tamadun yang hebat.

– BERNAMA


Pengarang :