AGENDAJENAYAH

Hina Sultan Selangor, Bukit Aman panggil Kor Ming esok

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Polis akan memanggil Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ke Bukit Aman esok untuk diambil keterangan berhubung dakwaan kenyataan berbaur menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kenyataan menghina Sultan Selangor itu didakwa dilakukan melalui akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fan Page pada bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kes itu masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak peguam negara.

“Kami akan panggil Nga Kor Ming esok ke Bukit Aman untuk merakam percakapannya berhubung kes ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Simposium Sains Forensik untuk Agensi Penguatkuasa di Maktab PDRM di Cheras, di sini.

Polis sebelum ini mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ini memaklumkan bahawa satu laporan bersama bukti akan diserah kepada polis selepas mendakwa wujud konspirasi politik jahat yang cuba mencemar nama baiknya dan DAP.

Beliau turut mendakwa bahawa kenyataan yang dikongsi Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook, adalah akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.

– BERNAMA


Pengarang :