Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.
AGENDANASIONAL

Bank data DNA berjaya padankan 60 sampel kes jenayah

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Sejumlah 60 sampel melibatkan kes jenayah berjaya dipadankan melalui penggunaan bank data asid deoksiribonukleik (DNA), membolehkan polis menyelesaikan kes-kes jenayah yang dahulunya tidak dapat diselesaikan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, antara kes jenayah lama yang berjaya diselesaikan melalui penggunaan bank data DNA itu ialah kes rogol yang berlaku kira-kira 20 tahun lepas.

“Sampel padanan itu membolehkan kes-kes jenayah yang tidak dapat diselesaikan dahulu, kini akan dapat diselesaikan.

“Bagi kes rogol itu, pelakunya sebelum ini dipenjara atas kesalahan lain namun penggunaan bank data DNA ini, membolehkan kami mengesan jenayah individu ini dan menyabitkan kesalahan rogol yang dilakukannya dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Nasional bagi Agensi Undang-undang 2019 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Cheras, di sini yang disertai kira-kira 500 peserta daripada PDRM dan pelbagai agensi antaranya Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen.

Mazlan berkata, 60 sampel DNA itu adalah antara lebih kurang 100,000 DNA di dalam bank data yang diperolehi PDRM sejak tahun 2013.

“Kami berharap, bank data ini juga dapat ditambahbaik dan PDRM sentiasa berbincang dengan Jabatan Kimia dalam pelbagai sudut tentang apa yang boleh dikemaskini,” katanya.

Terdahulu Mazlan berkata, simposium itu akan berlangsung selama tiga hari dan seramai 18 ahli panel yang terlibat dalam sains forensik dari dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat dan Sepanyol akan membuat pembentangan.

“Melalui perkongsian ilmu ini, agensi penguatkuasaan seperti PDRM akan dapat menimba pelbagai ilmu dari sudut forensik, sesuai dengan moto `Justice Via Forensic’ yang mana banyak kes-kes lama dapat diselesaikan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :