Perasmian Karnival Jelajah 360″ Smart Selangor oleh Hee Loy Sian di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri Rawang pada 19 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jelajah Smart Selangor bakal jengah penduduk bandar tahun depan

RAWANG, 19 OKT: Karnival Jelajah Smart Selangor 360 dijangka akan menjengah penduduk bandar bermula 2020 selepas program bertemu masyarakat luar bandar sepanjang tahun ini tamat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, karnival berkenaan perlu diteruskan untuk mempromosikan Smart Selangor kepada rakyat, sebagai usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pintar di rantau Asia menjelang 2025.

“Melalui karnival sebegini, penduduk Selangor akan mengetahui manfaat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri melalui Negeri Pintar 2025 yang sudah tentu akan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Jelajah ini dilihat mampu menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri dan pada masa sama penyampaian perkhidmatan atau ‘service delivery’ Kerajaan Negeri berjaya ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jelajah Smart Selangor 360 di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Loy Sian berkata, Rawang adalah destinasi ketujuh dan terakhir pada 2019 setelah Kerajaan Negeri melalui MBI dengan kerjasama UNISEL menganjurkan acara itu di beberapa lokasi luar bandar di seluruh negeri.

“Antara lokasi yang kita sudah jelajah ialah Kajang, Klang, Kuala Selangor dan Batang Kali.

“Saya gembira apabila mendapati program ini mendapat reaksi positif masyarakat dan mendapat 30,000 kunjungan dalam satu-satu masa. Kami berharap supaya ia akan terus disokong pada masa depan,” katanya.

Jelajah Smart Selangor 360 di Rawang menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk ‘Meet and Greet’ Persatuan Bola Sepak Selangor dan Konsert Alami Smart Selangor yang diserikan dengan kehadiran artis antaranya Zarul Umbrella, Aiman Tino, Indah Ruhaila, Syura dan Man Raja Lawak.


Pengarang :