AGENSISELANGOR

Jenazah Azalan akan dikebumi Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 OKT: Jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azalan Miswan yang terbabit dalam kemalangan di Turki akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Sabtu ini.

PKNS dalam kenyataan memaklumkan, jenazah Allahyarham yang ditemani isteri dan anaknya dijangka berlepas pulang ke Malaysia dari Istanbul, Turki sekitar 1.30 pagi waktu tempatan.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama jam 6.30 petang waktu Malaysia.

“Jenazah Azalan telah dibawa ke kedutaan Malaysia di Ankara pada jam 2 pagi tadi waktu Turki untuk urusan mandi, kafan dan solat jenazah serta diterbangkan ke Istanbul bagi dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, jenazah akan dibawa ke Surau An-Nur, Seksyen 20 Shah Alam untuk disolatkan dan akan dikebumikan selepas solat Isyak.

Pada 16 Oktober lalu, bas yang dinaiki rombongan rakyat Malaysia terbabit dengan kemalangan di Afyonkaranhisar ketika dalam perjalanan ke Pamukkale ke Cappadocia lebih kurang 11 pagi waktu tempatan.

Setakat ini hanya empat orang dimaklumkan mengalami kecederaan dan sudah mendapatkan rawatan di hospital tempatan.


Pengarang :