AGENSISELANGOR

Jom meriahkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM

SERDANG, 9 OKT: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menganjurkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen (EPPK) UPM ke-43 selama tiga hari bermula 15 November.

Pengerusi EPPK ke-43 UPM, Dr Yahya Awang berkata, ekspo yang dibuka secara percuma itu bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam bertempat di Bukit Ekspo UPM.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung antaranya pameran pelbagai jenis pokok dan haiwan, penyelidikan serta aktiviti khas untuk kanak-kanak.

“Pameran khas berkonsepkan pertanian bandar turut diadakan dengan mengetengahkan program berbentuk demonstrasi, teknik pengurusan tanaman dan pemeliharaan haiwan kesayangan melalui Klinik Pertanian yang dikelolakan oleh pakar pertanian UPM.

“Semasa EPPK, pengunjung juga berpeluang mendapatkan bahan tanaman berkualiti antaranya anak benih buah-buahan seperti durian, mempelam dan menariknya ia dihasilkan sendiri oleh UPM secara cantuman,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Yahya berkata, benih buah yang dijual juga mendapat pensijilan Skim Pengesahan Bahan Tanaman yang memperakukan ketulenan baka dan kualiti serta memenuhi standard ditetapkan Jabatan Pertanian.

“Antara anak benih durian yang akan dijual adalah klon Raja Kunyit atau Musang King, Hajah Hasmah dan Duri Hitam dengan harga serendah dari RM18 sepokok.

“Pada masa sama, hasil pertanian seperti sayur-sayuran, cendawan, daging rusa, daging kambing dan daging lembu serta susu segar juga akan dijual yang dihasilkan sendiri oleh UPM,” katanya.

Sementara itu, katanya, pengunjung juga dapat melihat gelagat pelbagai jenis kucing dan 15 ayam eksotik berkualiti serta istimewa seperti baka ayam Pekin bersaiz kerdil, berbulu lebat dengan kerjasama Persatuan Unggas Hiasan Malaysia.

Beliau yang juga Pengarah Taman Pertanian UPM berkata, petting zoo turut disediakan khusus untuk kanak-kanak bermain dan melihat haiwan yang dipamerkan antaranya seperti rusa, kambing dan arnab.

“Pengunjung juga tidak perlu khuatir untuk parkir kenderaan mereka kerana kita turut menyediakan tempat letak kereta percuma di beberapa kawasan sekitar kampus dan bas disediakan untuk bawa mereka ke Bukit Ekspo,” katanya.

Bagi pempamer atau orang ramai yang inginkan maklumat lanjut berkenaan EPPK boleh melawati Facebook ekspo iaitu https://www.facebook.com/tpuserdang/ atau hubungi talian hotline 03-97697282.


Pengarang :