Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jumlah perdagangan Malaysia berkurangan RM151.8 bilion pada Ogos

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Jumlah perdagangan Malaysia berjumlah RM151.8 bilion pada Ogos, 2019, susut RM10.7 bilion atau 6.6 peratus berbanding Ogos 2018, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport menurun sedikit sebanyak 0.8 peratus kepada RM81.4 bilion tahun ke tahun, manakala eskport semula bernilai RM13.4 bilion, merekodkan penurunan sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 16.5 peratus daripada jumlah eksport.

“Eksport domestik juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.8 peratus atau RM581.7 juta kepada RM67.9 bilion. Import turut merosot sebanyak 12.5 peratus tahun ke tahun kepada RM70.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jabatan itu berkata, penurunan eksport itu adalah disebabkan kejatuhan eksport ke Hong Kong (-RM911.5 juta), Singapura (-RM844.9 juta), Australia (-RM818.1 juta), Taiwan (-RM690.2 juta) dan Thailand (-RM382.1 juta).

Sementara itu, import lebih rendah terutamanya dari China (-RM1.9 bilion), Kesatuan Eropah (- RM1.6 bilion), Singapura (-RM1.6 bilion), Taiwan (-RM1.4 bilion) dan Arab Saudi (- RM942.1 juta).

Produk utama yang menyumbang kejatuhan ialah barangan elektrik dan elektronik (-RM2.4 bilion), petroleum mentah (-RM1.3 bilion) dan gas asli cecair (-RM366.6 juta).

Bagaimanapun, produk-produk berikut mencatatkan peningkatan; minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (+RM844.3 million), keluaran petroleum bertapis (+RM349.6 juta), kayu dan hasil keluaran kayu (+RM34.5 juta) dan getah asli (+RM12.6 juta).

Sementara itu, semua kategori utama import mengikut klasifikasi pengguna akhir merekodkan penurunan iaitu barangan perantaraan (-RM6.3 bilion), barangan modal (-RM3.6 bilion) dan barangan pengguna (-RM909.8 juta).

– BERNAMA


Pengarang :