AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kebajikan pekerja Food Panda, nasib MAS jadi tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Persoalan sama ada kerajaan bersedia untuk mengawal selia sektor ekonomi gig demi membela nasib dan menjaga kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan antara isu yang akan diangkat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, soalan itu dikemukakan oleh Mohamed Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri yang akan membuka sesi mesyuarat pagi ini.

Ekonomi gig adalah satu kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu tanpa ada majikan dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain, dan dijalankan sama ada untuk sepenuh masa atau separuh masa.

Antara model bisnes yang diidentitikan dengan ekonomi gig ialah Food Panda, Uber, Grab dan Airbnb yang menggunakan platform digital dalam perhubungan dan aktiviti perniagaan mereka.

Tidak kurang menariknya soalan yang akan dikemukakan oleh Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) yang mahukan penjelasan daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengenai desas-desus bahawa Jepun berhasrat mengambil alih syarikat penerbangan nasional Malaysia, MAS serta kaedah yang diguna pakai oleh negara itu untuk membuat tawaran berkenaan.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) turut serta dalam sesi ini dengan bertanyakan berkenaan kesan terhadap eksport kelapa sawit ekoran tindakan kerajaan India menaikkan nilai import kepada 25 peratus serta sama ada nilai eksport komoditi itu telah meningkat ke China hasil hubungan baik dengan negara itu.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember.

-BERNAMA


Pengarang :