Dr. Mahathir Mohamad
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tidak mahu golongan muda diresapi ideologi asing

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kerajaan telah menghentikan pengedaran buku komik yang bertajuk Belt and Road Initiative for Win Winism di sekolah-sekolah kerana ia tidak mahu belia Malaysia dipengaruhi oleh ideologi asing, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tidak mahu rakyat kita berfikir selepas dipengaruhi oleh barat sebelum ini, kita kini dipengaruhi China pula.

“Saya percaya China akan mempunyai banyak pengaruh di seluruh dunia nanti, namun ketika ini, ia bukan bagi kita untuk mempromosi idealogi dan idea-idea negara China,” kata perdana menteri semasa sesi soal-jawab di Persidangan Praxis ISIS di sini semalam.

Semasa diminta mengulas penyebaran komik itu di sekolah-sekolah menengah dan vernacular, Dr Mahathir menjawab ia bukan suatu perkara baik untuk mempengaruhi minda belia Malaysia.

“Golongan muda perlu faham masalah, strategi dan dasar-dasar negara sendiri terlebih dahulu, supaya apabila mereka berhadapan dengan sesiapa jua, mereka tahu kedudukan mereka.

“Sebagaimana kita tidak mahu pengaruh barat meresapi dalam strategi-strategi kita di sekolah-sekolah, kita juga tidak mahu lain-lain negara mempunyai pengaruh yang tidak seharusnya terhadap golongan muda kita,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menjelaskan bahawa ia tidak memberikan sebarang kelulusan untuk penyebaran komik itu dan berkata semua pejabat jabatan-jabatan pendidikan negeri serta daerah telah diarah memastikan semua sekolah-sekolah tidak menerima atau mengedarkannya.

Pejabat perdana menteri turut menyatakan bahawa Dr Mahathir tidak terbabit dalam penerbitan buku komik itu dan tidak tahu menahu mengenai kandungannya.

“Dalam buku komik itu tertera gambar Dr Mahathir dengan nota yang mengatakan bahawa ia adalah pemberian daripada beliau kepada Presiden China Xi Jinping semasa mesyuarat mereka di luar Sidang Kemuncak dan Forum Belt and Road di Beijing, April.

“PMO ingin menegaskan di sini bahawa buku itu bukan pemberian rasmi semasa mesyuarat berkenaan dan ia (komik berkenaan) dibawa masuk tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul,” menurut kenyataan PMO.

Menurutnya Dr Mahathir tidak pernah memberi kebenaran untuk gambarnya digunakan bagi sebarang tujuan atau bagi komik itu diedar di sekolah-sekolah.

Kementerian Dalam Negeri turut memberikan respons dengan mengatakan bahawa ia sedang menyiasat penyebaran buku komik itu yang dikatakan membawa unsur-unsur propaganda.

Dr Mahathir berkata Malaysia sentiasa menganggap China sebagai rakan, kecuali semasa di awal kemerdekaan negara, ketika ia terpaksa berhadapan dengan ideologi komunis China, yang tidak diterima Malaysia.

“Bagaimanapun selepas China mengguna pakai dasar baharu yang telah menguntungkan negara itu, menjadikan ia sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, Malaysia melihat ia sebagai peluang terbaik untuk meneruskan hubungan baik dengan negara itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :