AGENSISELANGOR

Keracunan makanan: Jabatan Kesihatan ambil sampel nasi lemak

SHAH ALAM, 7 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri mengambil lima contoh makanan proxy iaitu nasi lemak yang dipercayai menjadi punca pelajar yang menghadiri Kongres Maruah Melayu mengalami keracunan makanan, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, selain sampel klinikal kes oleh pihak hospital, pihaknya mengambil sampel makanan di tempat kejadian untuk dianalisa Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh.

Katanya, pihak terbabit juga sedang mendapatkan maklumat daripada urus setia program untuk memberikan butiran katerer pembekal makanan yang terlibat dalam menyediakan makanan kepada peserta.

“Seramai 197 peserta dikenal pasti mengalami keracunan makanan dengan gejala utama sakit perut (100 peratus) dan muntah. Kesemua peserta mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan KPJ Selangor (empat kes).

“Seramai 21 individu dimasukan ke wad di HTAR dan seorang pesakit di Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. Baki mangsa lain dibenarkan pulang dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Dr Khalid berkata, siasatan awal mendapati kes pertama peserta mengalami gejala keracunan makanan diterima pada jam 10 pagi dan kes terakhir pada jam 3 petang.

Katanya, makanan yang disyaki menjadi punca ialah nasi lemak bungkus yang dibekalkan kepada peserta sebelum mereka menaiki bas ke Stadium Melawati pada jam 7 pagi.

“Pihaknya menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan tiga langkah mengenali makanan rosak iaitu ‘Lihat, Hidu, Rasa’ untuk mengelak kejadian keracunan makanan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penganjur juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan dari Pejabat Kesihatan Daerah bagi nasihat serta melakukan pemeriksaan kepada premis yang menyediakan makanan.

Semalam, seramai 149 pelajar yang menghadiri Kongres Maruah Melayu mengalami keracunan makanan selepas mengambil sarapan pagi yang disediakan untuk mereka.

Kongres itu dihadiri oleh kira-kira 20,000 orang yang terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta orang awam.


Pengarang :