AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri boleh tetapkan had harga rumah dibeli warga asing

GEORGE TOWN, 14 OKT: Setiap kerajaan negeri masih boleh menetapkan had harga kediaman yang boleh dijual kepada pembeli warga asing berdasarkan keadaan semasa di negeri masing-masing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini.

Katanya cadangan penurunan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, pada 11 Oktober lalu masih boleh diteliti semula mengikut keperluan sesebuah negeri.

“Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut untuk rumah-rumah yang diberikan (harga) jualan RM600,000 itu kerana ada lambakan kediaman sebanyak RM8.3 bilion dan juga untuk dihabiskan stok dan akan dilaksanakan pada tahun (hadapan) mulai 1 Januari 2020 hingga Disember 2020.

“Saya percaya jika kita melihat kepada statistik Pulau Pinang umpamanya, negeri ini mempunyai satu gambaran analisis statistik yang berbeza dengan Johor, Kedah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan Kedua, di sini, hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan hasrat Kerajaan Pulau Pinang yang mahu mengkaji dan meneliti terlebih dahulu berhubung penurunan had harga daripada RM1 juta kepada RM600,000 seperti mana yang diumumkan Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020.

“Saya menyokong hasrat kerajaan Pulau Pinang mengkaji dan melihat perkara ini sekiranya tidak bersesuaian dengan keadaan di negeri itu, ini kerana Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang lebih maju maka sudut keperluannya berbeza, pencapaiannya juga berbeza,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang turut hadir pada majlis itu berkata, mesyuarat exco yang akan berlangsung 18 Oktober akan membuat keputusan berhubung had harga baru itu.

– BERNAMA


Pengarang :