Dato Menteri Besar, Amirudin Shari merasmikan Program Kem Kesihatan Dan Gotong Royong Selayang Makmur di Pangsapuri Selayang Makmur pada 13 Oktober 2019.Foto NAZIR KHAIRI/Pejabat MB
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB beri bayangan tambah baik perkhidmatan hospital, klinik kerajaan

GOMBAK, 13 OKT: Rakyat Selangor bakal menikmati perkhidmatan yang lebih baik di hospital dan klinik kesihatan kerajaan pada masa akan datang.

Penambahbaikan perkhidmatan dalam perkhidmatan kesihatan itu dijangka bakal diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam Belanjawan Negeri Selangor 2020 nanti.

“Saya melawat hospital, klinik kerajaan masih banyak kekurangan yang perlu ditampung.

“Kita cuba lihat apakah bentuk bantuan dan sokongan yang boleh kita bagi kepada hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan awam ini dapat ditingkatkan kerana sekarang ini jauh berbeza antara hospital swasta dan hospital kerajaan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berucap dalam Program Kem Kesihatan Dan Gotong-Royong Selayang Makmur di Pangsapuri Selayang Makmur pada 13 Oktober 2019. Foto NAZIR KHAIRI/Pejabat MB

Beliau memberikan bayangan pengumuman itu ketika berucap di Program Kem Kesihatan Dan Gotong Royong Selayang Makmur di Pangsapuri Selayang Makmur, di sini, hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut, sebaliknya menyeru supaya rakyat Selangor nantikan pengumuman itu dalam pembentangan belanjawan negeri.

Katanya, pada masa ini hospital dan klinik kerajaan menjadi pilihan utama orang ramai untuk mendapatkan rawatan berbanding dikendalikan swasta.

Amirudin berkata, keadaan ini meningkatkan kekerapan penggunaan peralatan perubatan di hospital dan klinik kerajaan berbanding swasta, sekali gus menyumbangkan kepada masa menunggu lebih lama.

Sementara itu, program yang berlangsung tengah hari tadi diadakan bagi memberi kesedaran kepada penduduk setempat tentang kepentingan kebersihan bagi menjamin persekitaran dan tahap kesihatan lebih baik.


Pengarang :