PBTSELANGOR

MBSA tutup sebahagian jalan sempena Larian Rasa Sayang

SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menutup sebahagian jalan di kawasan pentadbirannya bagi memberi laluan kepada Larian Rasa Sayang yang berlangsung Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, larian anjuran Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) di Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini membabitkan dua jajaran jalan iaitu Persiaran Sukan dan Persiaran Akuatik bermula jam 7.30 sehingga 10 pagi.

“Justeru, kami menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh terbabit untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke masa.

“MBSA juga memohon pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif menuju ke destinasi yang hendak ditujui,” katanya dalam kenyataan.

Larian Rasa Sayang itu membabitkan kategori dua kilometer terbuka kepada semua dengan yuran dikenakan sejumlah RM20 (individu) dan berkumpulan empat orang (RM60).

Selain itu, ia turut membabitkan larian lima kilometer terbuka lelaki dan wanita serta veteran dengan bayaran masing-masing sejumlah RM25 manakala remaja lelaki dan wanita RM20.

Kategori 10 kilometer juga terbuka kepada lelaki dan wanita serta veteran dengan bayaran dikenakan RM35.

Menariknya, penyertaan pesara berusia 55 tahun ke atas adalah percuma.


Pengarang :