Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (tengah) menyaksikan majlis penyerahan zakat korporat McDonald’s Malaysia daripada Pengarah Kanan Sumber Manusia Pentadbiran, Hal Ehwal Halal dan Latihan McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi (kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff pada majlis penyerahan zakat korporat dan sijil zakat kepada restoran-restoran McDonald’s Malaysia di Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

McDonald’s penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat PPZ-MAIWP

PUTRAJAYA, 1 OKT: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Sijil Pembayar Zakat Korporat, kepada syarikat-syarikat yang membayar zakat mereka di Wilayah Persekutuan, untuk dipamerkan di premis masing-masing.

Pengendali tempatan rangkaian restoran makanan segera McDonald’s iaitu Gerbang Alaf Restaurants menjadi penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pengenalan sijil itu adalah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat, tampil membayar zakat perniagaan untuk bersama-sama membantu masyarakat Islam yang memerlukan bantuan.

“Kita buat inovasi dengan mengeluarkan sijil kepada pembayar zakat, supaya orang ramai khususnya pelanggan, melihat komitmen syarikat terhadap tanggungjawabnya dan lebih diyakini keuntungannya,” katanya kepada media selepas menyampaikan sijil itu kepada Gerbang Alaf Restaurants di sini, hari ini.

Sijil Pembayar Zakat Korporat itu akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald’s di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berharap, sijil itu dapat menggalakkan lebih banyak syarikat membayar zakat perniagaan, untuk mencapai matlamat kutipan zakat PPZ-MAIWP sebanyak RM1 bilion menjelang tahun 2023.

Menurutnya, kutipan zakat PPZ-MAIWP sehingga September tahun ini berjumlah RM455 juta, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu RM440.89 juta, manakala kutipan zakat perniagaan 2019 setakat ini adalah sebanyak RM79 juta berbanding RM80 juta, pada tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Kanan Sumber Manusia Pentadbiran, Hal Ehwal Halal dan Latihan McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, McDonald’s Malaysia membayar zakat berjumlah RM1.4 juta pada tahun ini, untuk diagihkan kepada 14 negeri dengan PPZ-MAIWP menerima RM101,000.

Katanya, ini adalah tahun ketiga berturut-turut, McDonald’s Malaysia membayar zakat korporat setelah pemerolehan syarikat oleh Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi.

– BERNAMA


Pengarang :